KUALA LUMPUR:Tiada sebarang keperluan untuk mengadakan sidang Parlimen khas sekiranya matlamatnya adalah untuk proses semak dan imbang berkaitan tindakan kerajaan.

Menurut pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, penubuhan Jawatankuasa-Jawatankuasa Khas boleh dilakukan yang turut memerlukan penglibatan pihak pembangkang.

“Jika melihat kepada Ordinan Darurat 2021 terutamanya pada Seksyen 14, ia jelas membenarkan sidang Parlimen ditangguhkan sehingga selepas 1 Ogos 2021.

“Sekiranya sidang Parlimen itu dihasratkan untuk mengadakan semak dan imbang, ia bukanlah satu penyelesaian kerana jawatankuasa lain boleh ditubuhkan.

“Penting juga bagi menentukan siapa ahli dalam jawatankuasa tersebut dan ia perlu mengambil kira penglibatan pembangkang bagi memastikan tindakan kerajaan ada elemen semak dan imbang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Mengulas lanjut, tindakan untuk meneruskan sidang Parlimen juga masih belum jelas berhubung tujuannya, namun terdapat pihak yang mendakwa ia sebagai tuntutan proses demokrasi yang tidak sepatutnya disekat meskipun dalam situasi darurat.

Menurut Shamrahayu, beliau berpendapat gesaan untuk mengadakan sidang Parlimen sewaktu darurat lebih ke arah proses semak dan imbang, maka ia bukanlah satu langkah yang bersesuaian ketika pandemik.

Bagaimanapun jelasnya, segala keputusan adalah terletak di bawah budi bicara Yang di-Pertuan Agong sebagai pemegang kuasa prerogatif (hak istimewa).

“Jika mengikut undang-undang ia adalah budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam satu keadaan di mana prerogatif Agong itu diterima pakai.

“Apa jua bentuk tindakan ataupun strategi yang ditentukan semasa keadaan darurat itu adalah semuanya di bawah prerogatif Agong," katanya lagi.

Baru-baru ini wujud ketidakpuashatian beberapa pihak ahli politik berhubung perkenan Yang di-Pertuan Agong terhadap proklamasi darurat.

Langkah awal menyaksikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak menghantar surat kepada semua ahli Parlimen bagi memohon sokongan pembatalan proklamasi darurat.

Isi kandungan surat berkenaan difahamkan bertujuan meminta sokongan mereka bagi menuntut kerajaan mengadakan satu sidang Parlimen khas berhubung isu darurat.