TUDM patahkan cubaan 200 Rohingya masuk perairan negara

Bernama
April 16, 2020 23:55 MYT
Atas dasar kemanusiaan, anak kapal KD Lekiu mengagihkan bekalan makanan kepada kumpulan warga asing itu sebelum mengiringi bot berkenaan keluar. - Facebook TUDM
Tindakan pantas pesawat C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang berjaya mematahkan cubaan seramai 200 pendatang tanpa izin daripada memasuki perairan negara.
Pesawat yang diterbangkan Mej Faizul Hussein itu sedang melaksanakan tinjauan maritim udara di perairan Langkawi dan berjaya mengesan kehadiran sebuah bot pendatang tanpa izin dari memasuki perairan negara pada kira-kira 10.30 pagi Khamis.
TUDM dalam kenyataan berkata bot berkenaan sarat dengan kira-kira 200 warga Rohingya yang dikesan di kedudukan 70 batu nautika (129.6km) dari barat Pulau Langkawi.
"TUDM seterusnya menghubungi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Kapal Diraja (KD) Lekiu dan KD Lekir yang digerakkan ke lokasi pengesanan.
"KD Lekiu dan KD Lekir kemudian berjaya memintas bot berkenaan dengan bantuan helikopter Super Lynx TLDM dan mengekang pergerakan masuk bot berkenaan,” menurut kenyataan itu.
BACA: Ratusan etnik Rohingya mati dalam pelayaran - Persatuan
BACA: Gagal berlabuh di Malaysia, 24 etnik Rohingya maut dalam kapal
BACA: Dua bot bawa PATI Rohingya tunggu masa
Menurut kenyataan itu, dengan keadaan penempatan serta kehidupan daif di tempat asal mereka, dibimbangi kumpulan warga asing yang cuba memasuki Malaysia sama ada melalui jalan darat atau jalan laut akan membawa kluster baharu penularan COVID-19 ke negara ini.
"Namun, atas dasar kemanusiaan, anak kapal KD Lekiu mengagihkan bekalan makanan kepada kumpulan warga asing itu sebelum mengiringi bot berkenaan keluar dari memasuki perairan negara.
"Ini adalah satu usaha bersepadu antara TUDM, TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia khususnya dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan maritim negara.
"Operasi pengawasan maritim udara ini akan terus dipergiatkan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#bekalan makanan #bot #COVID-19 #kemanusiaan #keselamatan #koronavirus #Langkawi #Malaysia #operasi #pendatang tanpa izin #perairan negara #pesawat #Rohingya #tentera #tinjauan maritim udara #TLDM #TUDM #warga asing