MALAYSIA
TUDM sahkan pendaratan kecemasan pesawat latihan di LTSAH

TUDM akan menubuhkan satu lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan buat masa ini, pengoperasian latihan penerbangan di INSPEN 1 diteruskan seperti biasa. - Gambar Bernama
ALOR SETAR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan berlakunya insiden pendaratan kecemasan melibatkan sebuah pesawat latihan Pilatus PC-7 MkII di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini hari ini.
Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Awam TUDM, kejadian berlaku pada 11.26 pagi tadi.
"Pesawat tersebut diterbangkan oleh pelatih Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1), Kolej Tentera Udara yang sedang menjalani latihan penerbangan solo. Pelatih tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, TUDM akan menubuhkan satu lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan buat masa ini, pengoperasian latihan penerbangan di INSPEN 1 diteruskan seperti biasa.Terdahulu, Malaysia Airports menerusi hantaran di laman sosialnya memaklumkan LTSAH ditutup sementara susulan insiden tersebut dan bagi membolehkan kerja-kerja mengalihkan pesawat dan membersihkan landasan di lapangan terbang itu.
Landasan berkenaan dibuka semula pada 3 petang selepas mendapat kelulusan keselamatan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan operasi penerbangan di LTSAH kembali berjalan seperti biasa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami