Denda lewat berjumlah RM651,650 tidak dikenakan terhadap syarikat kontraktor yang lewat menyiapkan kerja penyelenggaraan, di Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU), menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019.

Menurut LKAN kerja penyelenggaraan berjumlah RM6.07 juta berkenaan, mengalami kelewatan penyiapan kerja antara 44 hingga 1,103 hari.

Laporan itu menyebut, bahawa kelewatan dikira dari tarikh kerja patut siap mengikut Arahan Pembaikan sehingga tarikh ‘Certificate of Completion’ (Sijil Penyiapan Kerja).

“Ia juga menyatakan bahawa tempoh kerja ditetapkan mengikut ‘Repair Order’ (Arahan Pembaikan) yang dikeluarkan sebelum kerja penyenggaraan dilaksanakan di MPBU.

“Denda lewat yang dikenakan adalah pada kadar satu peratus, bagi setiap harga perkhidmatan yang lewat dilaksanakan pada setiap bulan,” menurut LKAN.

Menurut laporan audit berkenaan, klausa 6 dan 22 dalam kontrak berkaitan penyampaian perkhidmatan mengikut tempoh yang ditetapkan telah dinyatakan dengan jelas dan denda akan dikenakan sekiranya melanggar tempoh berkenaan.

Bagaimanapun laporan audit itu menyatakan, bahawa denda lewat siap kerja tidak dikenakan disebabkan pegawai pengesah kerja, pegawai penyedia, penyemak dan pengesah arahan pembayaran, di Unit Kewangan dan Unit Perolehan MPBU, tidak menyemak dengan teliti tempoh penyempurnaan kerja dengan syarat kontrak, sebelum bayaran dibuat.

Maklum balas dari pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diterima pada 19 Jun 2020 menyatakan, bahawa denda lewat akan dikenakan terhadap kontraktor berkenaan bagi kerja yang lewat disiapkan daripada tarikh sepatut siap.

Bagi memastikan tindakan pematuhan kepada peraturan dan penguatkuasaan klausa kontrak, LKAN mengesyorkan Kementerian Pertahanan (MINDEF), menguatkuasakan klausa denda lewat terhadap syarikat atas kelewatan penyerahan dan pembekalan.

Selain itu, MINDEF juga perlu memastikan pegawai penyedia, penyemak dan pengesah, membuat semakan dengan teliti mengikut syarat kontrak sebelum bayaran dibuat, bagi mengelakkan pembayaran tidak wajar dan mengenakan tindakan terhadap pegawai yang tidak mematuhi kehendak atau arahan Jabatan, seperti yang tertakluk peraturan kewangan.

-- BERNAMA