KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menerima laporan bahawa anggotanya mengalami tekanan melampau atau lesu upaya susulan penugasan mengawal keselamatan negara bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata ini kerana anggota ATM amat memahami tanggungjawab dan peranan mereka untuk terus menabur bakti kepada negara bagi melawan musuh termasuk penularan virus berbahaya itu.

Beliau berkata pihaknya memahami dan mempunyai tanggungjawab serta komitmen untuk menangani ancaman COVID-19.

"ATM melihat wabak ini sebagai satu daripada ancaman yang membahayakan serta boleh mengakibatkan kematian," katanya dalam wawancara khas sempena Hari ATM ke-88 di Wisma Perwira ATM di sini.

Affendi berkata selain itu, ATM sentiasa mencari langkah untuk menaikkan semangat anggotanya bagi memastikan mental dan fizikal mereka berada pada tahap terbaik.

Beliau juga berkata ATM mengesan majoriti anggotanya mengalami masalah kewangan yang secara tidak langsung menyebabkan mereka tergolong dalam kumpulan B40 selepas bersara.

"Antara punca ia berlaku ialah kerana mereka ini (anggota ATM) tidak mempunyai peluang kerjaya kedua bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Oleh yang demikian, ATM sedang mencari jalan penyelesaian isu ini, antaranya menggalakkan isteri anggota untuk mencari peluang pekerjaan secara sambilan bagi membantu menjana pendapatan keluarga," katanya.

Affendi berkata pihaknya akan memastikan anggota ATM yang bakal pencen bersedia dari segi mental untuk menempuh fasa persaraan agar menjalani kehidupan yang lebih selesa.

"Kebanyakan anggota ATM bersara pada usia 40 tahun dan mereka ini ada komitmen serta pelbagai perbelanjaan seperti pinjaman kereta dan rumah yang belum habis dibayar.

"ATM melihat isteri anggota yang mempunyai kemahiran boleh menjana pendapatan melalui kaedah perniagaan secara dalam talian yang sekali gus boleh membantu suami mereka selepas bersara.

-- BERNAMA