Jumpa di London, lima kali Muhyiddin kata sedia lepaskan jawatan - Annuar

Annuar (kiri) berkata, Muhyiddin sangat konsisten dan berulang kali menyuarakan hasratnya tersebut. - Gambar fail
SHAH ALAM: Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, Muhyiddin sangat konsisten dan berulang kali (tidak kurang daripada lima kali) menyuarakan perkara tersebut.
Menurutnya, Muhyiddin malah pernah memberi bayangan peletakan jawatan itu boleh berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
"Saya dalam rangka menghadiri jemputan Kelab Pas United Kingdom, di Nottingham dan singgah di London. Saya dapat tahu Muhyiddin berada di London lalu saya menghubunginya dan cadangkan untuk sarapan bersama.
"Beliau sebut pada saya, jika Pas mahu pimpin PN, saya sedia bila-bila masa lepaskan jawatan ini. Malah dia beri mandat kepada saya supaya maklumkan pada pimpinan Pas.
"Cuma saya tidak maklumkan kerana saya bukan orang tengah. Lagi pun dalam Pas kami ada disiplin berorganisasi," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, terdapat dakwaan wujud akuan bersumpah (SD) menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang ditandatangani lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing tiga daripada Pas dan lima Bersatu.
Akibatnya, Mohd Shukri mengumumkan peletakan jawatan atas faktor kesihatan sebelum Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis baharu.
Kemudian pada Selasa, Muhyiddin mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari ini.
Tambah Annuar, oleh itu adalah tidak benar pada fahamannya yang mana dakwaan Muhyiddin melepaskan jawatan kerana isu di Perlis.
Jelasnya, ini kerana hal tersebut sudah lama dinyatakan oleh Muhyiddin secara konsisten berulang kali.
"Jika Pas mahu, beliau bersedia berikan, PN adalah gagasan pemikiran beliau. Beliau mempunyai 'clarity of thought' tentang dasar yang mahu dibawa melalui PN yang kini mempunyai keahlian lima parti serta enam atau tujuh 'friends of PN'.
"Tindakan 'stepping aside' secara sukarela dan membuka laluan 'penggiliran nakhoda' adalah satu tindakan bersifat 'statesman' yang terpuji.
"Tanggungjawab memimpin badan gabungan bakal terpindah kepada pemimpin baharu yang bakal diputuskan oleh badan tertinggi PN berdasarkan Perlembagaan PN," ujarnya.
Beliau turut memberitahu, Pas sudah menyatakan kesediaan memimpin PN.
"Semua pihak harus bertenang. Sentiasalah bertemu dan berkomunikasi hati ke hati dan elakkan spekulasi.
"Sesungguhnya kebaikan dan kebijaksanaan yang kita cari bukan melayan emosi," ulasnya. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


