Skip to main content

Advertisement

Malaysia

Tujuh pesalah juvana gagal peroleh kebenaran semak penahanan tanpa had masa

61770352737_TBISTANAKEHAKIMAN.jpg
Sequerah, ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, berkata tiada keadaan istimewa yang mewajarkan pemberian kebenaran itu. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Tujuh banduan yang disabitkan kesalahan serius ketika mereka masih di bawah umur gagal dalam permohonan mereka untuk memperoleh kebenaran menyemak semula keputusan mahkamah terdahulu yang mengenakan penahanan tanpa had masa atas perkenan pemerintah.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh hari ini memutuskan bahawa pemohon gagal memenuhi prasyarat untuk memperoleh kebenaran menyemak semula keputusan itu di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Advertisement

Yang turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sequerah, ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, berkata tiada keadaan istimewa yang mewajarkan pemberian kebenaran itu.

Beliau berkata hak pemohon di bawah Perkara 5 (hak untuk hidup) dan Perkara 8 (perlindungan dan layanan yang sama rata di sisi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan tidak dicabuli.

Sequerah berkata Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan pesalah kanak-kanak yang disabitkan dengan kesalahan seperti membunuh, mengedar dadah atau menculik akan ditahan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri, dan penahanan itu adalah sah. 

“Oleh itu, peruntukan penahanan atas perkenan tidak melanggar Perkara 5 kerana pesalah kanak-kanak terbabit telah disabitkan selepas proses perbicaraan yang adil dan pada akhirnya, hukuman yang dijatuhkan adalah mengikut undang-undang sah yang telah digubal oleh Parlimen,” katanya.

Beliau berkata remedi alternatif tersedia di bawah undang-undang untuk pemohon termasuk Seksyen 97 (4) Akta Kanak-Kanak 2001, Peraturan 54 dan 113 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 serta kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang belum dimanfaatkan oleh mereka.

Hakim itu berkata remedi itu memberi peluang kepada mereka untuk dibebaskan lebih awal.

“Pengenalan Akta 846 (Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023) dan Akta 847 (Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023) tidak mengubah hak sama rata pemohon di sisi undang-undang,” katanya.

Justeru, Sequerah berkata hujah peguam para pemohon bahawa kedudukan mereka di sisi undang-undang menjadi semakin buruk susulan penggubalan kedua-dua akta adalah tidak berasas.

Beliau juga berkata keputusan Yang di-Pertuan Agong, Raja, Yang Dipertua Negeri dan Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipertikai di mahkamah atau dibawa untuk semakan kehakiman.

Dalam permohonan mereka, para pemohon berhujah bahawa perubahan undang-undang yang memansuhkan hukuman mati mandatori serta pemenjaraan sepanjang hayat wajar membuka ruang untuk hukuman mereka disemak dan dipertimbangkan semula, selain mendakwa penahanan berterusan tanpa had masa ialah suatu ketidakadilan yang serius serta bercanggah dengan Perlembagaan.

Ketujuh-tujuh pesalah juvana, yang kini berumur lingkungan 27 hingga 36 tahun, telah disabitkan dengan kesalahan membunuh, menculik serta mengedar dadah namun atas faktor usia ketika melakukan kesalahan itu, mereka dijatuhi hukuman penahanan atas perkenan pemerintah, dan bukannya hukuman mati mandatori.

Pada prosiding hari ini, peguam Abdul Rashid Ismail, Khaizan Sharizad Ab Razak, dan Jacqueline Hannah Albert mewakili para pemohon manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin, Afzainizam Abdul Aziz, Noor Farhana Adham dan Arif Aizuddin Masrom hadir bagi pihak pendakwaan.

-- BERNAMA 

Must Watch Video