Tujuh warga Malaysia antara ditahan dalam serbuan disko di Danok

Bernama
Jun 8, 2018 15:19 MYT
Polis Thailand merampas pelbagai jenis dadah yang akan diedarkan kepada pusat-pusat hiburan dalam satu serbuan di sebuah apartment di daerah Ladprao, di Bangkok, 7 Jun. --fotoBERNAMA
Pihak berkuasa Thailand menyerbu sebuah disko popular di Danok, berhampiran sempadan Malaysia-Thai dan menahan 38 pelanggan asing termasuk tujuh lelaki warga Malaysia yang didapati positif dalam ujian awal penyalahgunaan dadah ke atas mereka.
Timbalan Pegawai Daerah Sadao Nawapol Chantaniwes berkata turut ditahan dalam serbuan bermula dari 1 pagi (waktu tempatan) hari ini dan berakhir lima jam kemudian, adalah pemilik tempatan pusat hiburan itu, yang juga didapati positif dadah.
"Kesemua pelanggan asing adalah lelaki dan wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun dan daripada pelbagai warganegara, Laos, Myanmar, China, Malaysia dan Kemboja," katanya hari ini sambil menambah mereka akan menjalani pemeriksaan yang lebih teliti untuk mengesan penyalahgunaan dadah.
Serbuan oleh 50 anggota polis dan pegawai pejabat daerah ke atas disko yang terletak di tingkat bawah sebuah hotel di Danok dilaksanakan setelah mendapat aduan daripada penduduk tempatan mengenai aktiviti pengedaran dadah di pusat hiburan itu.
Lebih daripada 400 pengunjung berada di dalam disko itu ketika serbuan dibuat.
Nawapol berkata, antara dadah yang dirampas semasa serbuan itu ialah "ice" (methampetamine kristal), ekstasi, ketamin dan marijuana.
-- BERNAMA
#China #Dadah #Danok #disko #ekstasi #hotel #ice #Malaysia #Myanmar #pelanggan #polis #pusat hiburan #sempadan #serbuan #Thailand #warga asing