KUALA LUMPUR: Padah cuba menukar kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai, segelintir penerima bantuan menjadi mangsa penipuan pihak yang kononnya menyediakan 'perkhidmatan' bagi tujuan tersebut, di platform media sosial.

Seorang penuntut sebuah universiti awam yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 20, merupakan salah seorang mangsa yang mendapati RM200 kredit diterimanya melalui program tersebut, lesap sekelip mata apabila terpedaya dengan 'perkhidmatan' palsu yang ditemuinya di laman Twitter.

Berkongsi pengalaman malangnya terjebak modus operandi itu kepada Bernama, Nur berkata telah memilih untuk mendapatkan wang tunai bagi melunaskan yuran pengajian, kerana dia tidak menerima apa-apa pinjaman atau pembiayaan pengajian, selain untuk kegunaan keperluan harian.

Dia berkata oleh kerana dana yang dimasukkan dalam akaun e-dompet miliknya tidak boleh dipindahkan kepada akaun bank, dia telah mencari cara untuk menukarnya kepada wang tunai di Twitter, yang akhirnya mendatangkan kerugian kepada dirinya.

"Saya cari 'ebelia service' dan 'ebelia cash' (di Twitter). Memang ramai orang buat," katanya.

Nur kemudian menceritakan telah terjumpa satu pemilik akaun yang menyediakan perkhidmatan itu, dan telah berkomunikasi dengannya untuk meneruskan transaksi, sebelum menyedari dirinya ditipu.

"Malam itu selepas pindahkan dana eBelia kepada dia, dia tangkap layar dan hantar pesanan dekat saya, katanya sistem sibuk dan dia tidak boleh pindahkan wang semula kepada akaun saya.

"Memandangkan dia ada bagi bukti dekat ciapan Twitter dia, yang dia dah tolong ramai orang, saya tak syak pula dia tu scammer," katanya.

Remaja itu berkata dia hanya menyedari dirinya ditipu apabila mendapati akaun Twitter yang berurusan dengannya itu, tidak lagi aktif pada keesokan harinya, dan dia masih tidak menerima pindahan wang tunai ke dalam akuan bank miliknya seperti yang dijanjikan.

Sementara itu, Sophia, 19, penuntut sebuah universiti awam berkata dia mengetahui ada dalam kalangan penuntut universiti itu, turut menukar kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai.

"Ini kerana mereka perlukan wang tunai untuk berbelanja dan mereka perlu membayar RM10 untuk perkhidmatan ini. Mereka hanya pilih orang yang dikenali untuk perkhidmatan ini supaya tidak ditipu," katanya yang akan memanfaatkan bantuan kerajaan itu, untuk membeli buku dan barang keperluan lain.

Melalui tinjauan platform media sosial, Bernama mendapati terdapat banyak iklan yang menawarkan perkhidmatan menukar kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai, sama ada secara percuma atau mengenakan bayaran sehingga RM15 bagi satu transaksi.

Namun apa yang menyedihkan, selain Nur, ramai juga penerima mendedahkan menjadi mangsa penipuan modus operandi itu, apabila kredit yang dipindahkan kepada pihak ketiga itu tidak diterima semula ke dalam akaun bank mereka dalam bentuk wang tunai.

Bernama telah menghubungi Kementerian Kewangan untuk mengesahkan sama ada penipuan melibatkan program eBeliaRahmah berlaku, dan kementerian itu melalui jawapan bertulis, mengakuinya perkara itu ada berlaku.

Program eBeliaRahmah merupakan inisiatif kerajaan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2023, bagi memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia, selain meringankan beban kewangan golongan belia berusia antara 18 hingga 20 tahun dan pelajar Insititut Pengajian Tinggi sepenuh masa.

RM200 yang dikreditkan kepada akaun e-dompet kira-kira dua juta penerima bermula 26 Jun lepas melalui program itu, untuk digunakan bagi pembelian fizikal di premis perniagaan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat iaitu Boost, Setel dan Touch n Go eWallet.

Dalam terma dan syarat program tersebut, telah dinyatakan bahawa bantuan berjumlah RM200 itu, tidak boleh ditunaikan atau dipindahkan kepada akaun lain dan tindakan akan diambil sekiranya penerima didapati melakukan sedemikian.

-- BERNAMA