LAHAD DATU: Polis Lahad Datu mengambil maklum berhubung beberapa gambar tular memaparkan tiga kanak-kanak memanjat belakang lori yang sedang bergerak di jalan raya dipercayai berlaku di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, tindakan akan diambil bagi mengesan kanak-kanak tersebut.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu akan siasat dan tindakan pengoperasian akan diambil," katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas perkara tersebut pada Ahad.

Dalam hantaran di laman Facebook Info Lahad Datu memaparkan gambar aksi kanak-kanak berpaut pada lori yang sedang bergerak berserta keterangan gambar mengenai perbuatan mereka.

"Sebelah tangan pegang lori sebelah tangan isp (hisap) gam sampai di bulan," tulisnya dua hari lalu.

Hantaran itu mendapat perhatian daripada warganet yang bukan saja bimbang dengan keselamatan kanak-kanak tersebut tetapi juga membahayakan pengguna jalan raya lain termasuk pemandu lori tersebut.

Tindakan berbahaya kanak-kanak tersebut juga dikaitkan dengan pengambilan bahan yang mengkhayalkan iaitu gam sehingga tidak menyedari perbuatan yang dilakukan boleh membawa bahaya kepada diri sendiri. - Sinar Harian