BENTONG: Polis Bentong sedang memburu seorang lelaki disyaki merompak seorang pembantu gerai durian menggunakan senjata berhampiran kawasan perindustrian Benus di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 4.44 petang itu, mangsa seorang wanita sedang bekerja di gerai tersebut didatangi sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dipercayai warganegara tempatan.

Menurutnya, pembantu gerai warganegara asing berusia 38 tahun itu telah diacu dengan senjata menyerupai objek seperti pistol dan suspek meminta mangsa menyerahkan wang tunai.

"Mangsa kemudiannya telah menyerahkan semua wang tunai jualan durian dan suspek melarikan diri dengan menaiki kenderaan sama.

"Hasil siasatan awal pihak polis mendapati mangsa bekerja dengan seorang lelaki warganegara tempatan sebagai pembantu di gerai tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujar Zaiham, ketika kejadian, mangsa bekerja seorang diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala jumlah kerugian sebanyak RM850.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu rompak dengan menggunakan senjata.

"Kita dalam usaha mengesan dan menjejaki suspek kes ini. Rakaman kejadian berdurasi 26 saat turut tular dalam media sosial," tambah beliau.

Dalam pada itu, Zaiham menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan menjaga keselamatan diri bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat dan menyaksikan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya. - Sinar Harian