NATIONAL
Tular: Penganggur diberkas, modus operandi sasar kereta tak berkunci

Naazron Abdul Yusof berkata, bertindak atas risikan dan maklumat daripada video yang dimuat naik di media sosial, polis menahan suspek. - Tangkap layar video tular
KAJANG: Seorang penganggur yang dipercayai aktif melakukan kegiatan curi menggunakan modus operandi menyasarkan kenderaan yang ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci atau dengan enjin masih hidup, diberkas di sekitar Bangi, pada Jumaat.
Baru-baru ini tular satu rakaman video berdurasi 27 saat yang memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal serta memakai topi keledar bertindak mencuri beg dari sebuah kereta yang ditinggalkan tanpa berkunci.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, bertindak atas risikan dan maklumat daripada video yang dimuat naik di media sosial, polis menahan suspek kira-kira jam 5.18 petang di sekitar Bangi.
Katanya, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha yang dipercayai digunakan semasa kejadian."Siasatan awal mendapati suspek mengaku menjalankan jenayah itu menggunakan modus operandi sama iaitu menyasarkan kenderaan yang tidak dikunci atau ditinggalkan seketika dengan enjin masih dihidupkan.
"Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Kes itu ujarnya disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Beliau memberitahu, suspek kini direman selama tiga hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan lanjut.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan tidak berkunci atau dengan enjin masih hidup walaupun untuk tempoh singkat.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau pernah menjadi mangsa dengan modus operandi sama juga diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Norhafizah Mat Yusoff di talian 011-54539190 dengan segera.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami