ALOR SETAR: Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di daerah Kota Setar dan Pendang tamat hari ini dan kelas bersemuka akan kembali dilaksanakan bermula esok.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat memaklumkan bahawa keputusan berkenaan dibuat selepas suhu yang dicatatkan di dua daerah berkenaan adalah pada Tahap 1 sejak Isnin.
Advertisement
"Berdasarkan trend dan keadaan suhu di Kedah beberapa hari ini, hujan (sudah mulai turun), anak-anak akan kembali ke sekolah seperti biasa mulai esok, cuma beberapa aktiviti yang digariskan di dalam amaran Tahap 1 kita akan kuatkuasakan.
"Antaranya adalah tiada aktiviti melibatkan pendedahan anak-anak terhadap cuaca panas dan kawasan terdedah. Beberapa amaran dan panduan kepada anak-anak untuk cuaca panas ini diedarkan kepada pihak sekolah dan akan diberikan kepada waris.
"Ia supaya anak-anak dapat perlindungan daripada kawasan terdedah ataupun suhu panas, dan minum air lebih daripada biasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas pengumuman Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di JPN Kedah, di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rahim menjelaskan bahawa sesi PdPR yang dilaksanakan di Kota Setar dan Pendang berjalan lancar meskipun terdapat beberapa kekangan terutama membabitkan penggunaan gajet.
"Berdasarkan maklumat yang diterima daripada sekolah yang diberi gambaran daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing, segalanya berlaku seperti yang dirancang, cuma anak yang berada di rumah ini (jalani PdPR) berdasarkan kemampuan masing-masing.
"Saya difahamkan ada anak-anak yang berkongsi gajet dengan ibu bapa namun segala maklumat yang diperlukan sampai (kepada murid), tetapi mungkin delay sedikit.
"Saya nak maklumkan juga, kerja yang perlu diselesaikan anak-anak dapat diselesaikan... maksudnya pembelajaran ini berlaku cuma di lokasi dan masa yang sedikit berbeza," katanya.
Pada Ahad, JPN Kedah memaklumkan seramai 86,030 pelajar terlibat dalam pelaksanaan PdPR selama tiga hari, yang melibatkan 65,634 pelajar dari 154 sekolah di daerah Kota Setar, manakala 20,396 pelajar dari 52 sekolah di Pendang.