KUALA LUMPUR: Tun Juhar Mahiruddin pada Jumaat menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung khidmatnya sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah bagi tempoh dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini.

Lantikan penggal keempat bagi Juhar sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah itu adalah dari 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2024, sekali gus menyaksikan beliau memegang jawatan itu lebih 10 tahun sejak pelantikan pada 1 Jan 2011.

Istiadat pengurniaan itu berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara, yang turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Istiadat itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Juhar, 69, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 pada 1 Jan 2011 bagi menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Disember 2018 meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi menghapuskan tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri (TYT) Sabah yang sebelum ini dihadkan kepada dua penggal.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Wolverhampton Polytechnic, England, Juhar pernah menyandang jawatan selaku Speaker DUN Sabah pada 2002 hingga 2010, dan juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 1990 hingga 1999.

-- BERNAMA