Tun Dr Mahathir Mohamad masih lagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Timbalan Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menurut beliau, hakikat itu turut diperakui oleh Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang masih menggelarkan bekas Perdana Menteri itu sebagai Pengerusi Bersatu.

Kata Mukhriz, perkara itu dizahirkan dalam surat antara kedua-dua mereka.

Sehubungan itu, Mukhriz berkata, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) hanya boleh dipanggil oleh Pengerusi parti yang diiktiraf oleh Presiden sendiri.

"Bila Menteri Dalam Negeri sendiri nak diangkat dalam Setiausaha Agung parti kita, jadi mungkin Perlembagaan itu tidak penting.

"Bagi dia ikut suka hati dia boleh langgar Perlembagaan. Jadi saya ingat ini tak betul, Mesyuarat MPT hanya boleh dipanggil oleh Pengerusi parti dan diiktirafkan semua pihak termasuk Tan Sri Presiden sendiri bahawa Tun Mahathir adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

"Dalam kenyataan sebelum sebelum ini surat menyurat di antara Tan Sri (Muhyiddin) dengan Tun (Dr Mahathir) pun dia mengakui Tun sebagai Pengerusi parti, jadi bila Pengerusi tak panggil Mesyuarat MPT macam mana orang lain boleh panggil? Lepas tu tak menjemput pulak beberapa orang. Tak boleh lah, mana-mana mesyuarat pun kena panggil semua lah kan," kata Mukhriz.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, pada Rabu.

Mukhriz berkata demikian sebagai mengulas mengenai mesyuarat pada minggu ini yang dikatakan diadakan tanpa menjemput beberapa pihak termasuk beliau dan Dr Mahathir.

Justeru itu, beliau berkata, tindakan Muhyiddin dilihat sudah membelakangkan parti apabila melanggar Perlembagaan.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, parti itu juga seharusnya memberikan ruang kepada mereka untuk mempertahankan diri.

Malah menurut beliau, sekiranya berlaku pelanggaran Perlembagaan parti, pihaknya boleh dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti untuk membuat keputusan.

"Benarkan kami untuk mempertahankan diri. Kalau ada pun apa-apa tuduhan salah laku ka apa ka, perlanggaran Perlembagaan parti, peraturan parti ka, proses dia ialah kalau ada kesalahan yang dilakukan aduan mesti dibuat kepada Lembaga Disiplin kemudian siasatan oleh Lembaga Disiplin.

"Kemudian mungkin ada surat tunjuk sebab terhadap pihak tersebut dan dia diberi peluang untuk mempertahankan diri dalam Lembaga Disiplin, selepas itu Lembaga Disiplin mengeluarkan hukuman, masih boleh rayu lagi dengan Jawatankuasa Rayuan... jadi proses dia panjang. MPT tidak boleh membuat keputusan membuang sesiapa pun," tegas Mukhriz lagi.

Mesyuarat berkenaan bagaimanapun ditangguhkan ekoran satu notis penangguhan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya kepada pimpinan tinggi parti tersebut.