Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu fokus pada Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkannya pada 1980-an apabila berucap pada Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia ke-24 di Jepun pada 11 dan 12 Jun ini.

Mengesahkan kepada pemberita di sini bahawa beliau akan ke Jepun bagi menghadiri persidangan tahunan anjuran Nikkei-Shimbun itu, beliau berharap lawatan itu juga akan memperkukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Jepun.

"Saya pergi ke Jepun setiap tahun untuk (menghadiri forum dan) berbincang tentang masa depan Asia. (Tahun ini) saya mahu cakap lebih sedikit tentang Dasar Pandang Ke Timur," katanya selepas mengadakan mesyuarat tertutup dengan anggota Pakatan Harapan Langkawi di sini.

Lawatan ke Jepun itu yang dijadualkan minggu depan merupakan lawatan rasmi pertama Dr Mahathir ke luar negara sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Ketujuh Malaysia.

Sementara itu, Tun Dr Mahathir berkata kerajaan masih belum sampai ke tahap untuk membincangkan sebarang perjanjian khususnya membabitkan International Petroleum Investment Company (IPIC) bagi melunaskan hutang 1MDB.

"Kami belum sampai ke tahap itu lagi. Kami masih mengkaji implikasi perjanjian pinjaman dan terma pinjaman," katanya.

-- BERNAMA