KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi mengurangkan penularan COVID-19.

Dalam satu tulisan di blognya, Dr Mahathir berkata, terbukti PKP tidak berjaya mengurangkan jumlah kes dan kematian baru namun ia diteruskan untuk beberapa hari lagi.

"Adakah jumlah kes baru akan berkurang? Mungkin tidak. Tetapi kita diarahkan untuk terus melakukan lockdown dan MCO sehingga kes-kes baru dikurangkan, tetapi bila?

"Selepas itu semakin banyak hari lockdown dan sebagainya. Dan kes akan tetap tinggi,” katanya.

Secara sinis, Dr Mahathir berkata, penderitaan rakyat bukan satu kepentingan bagi kerajaan selagi mana mampu berkuasa.

Katanya, rakyat diminta menerima bahawa terdapat sektor perniagaan yang perlu diteruskan kerana negara tidak mampu untuk kerugian RM2 bilion sehari.

"Sekiranya kita mesti kelaparan, mati, itulah kos yang mesti kita bayar," tulis beliau.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga dengan keras mengkritik pentadbiran negara dan mendakwa anggota pentadbiran sedia ada seolah-olah tidak mempedulikan apa yang berlaku.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 'full lockdown' yang dilaksanakan kerajaan berjaya mengelakkan 'malapetaka' seperti yang diunjurkan sebelum ini.

Dr Noor Hisham berkata, negara sebelum ini berdepan risiko kenaikan kes jangkitan sehingga 13,000 kes pada 14 Jun.

"Kita berjaya melandaikan lengkuk jangkitan tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk menurunkan lagi kes.

"Selagi masih ada pergerakan dan aktiviti berkumpul beramai-ramai di sesetengah sektor, kita akan tetap berada di mana kita hari ini.

"Jika orang lain berdegil, kita sendiri masih boleh membawa perubahan dengan mengamalkan sekatan pergerakan kendiri, menyelamatkan diri dan keluarga," kata Dr Noor Hisham kepada Astro AWANI.

Tambah beliau, ini penting terutama ketika beberapa varian baharu seperti Beta dan Delta, yang mempunyai kadar jangkitan dan kematian yang lebih tinggi.

"Kita sekarang dalam peperangan, dan menyelamatkan negara adalah keutamaan kita. Jika tidak, nasib kita akan jadi seperti India," ujarnya.