NATIONAL
Tun Ramli Ngah Talib angkat sumpah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Kesembilan di Dewan Sri Pinang hari ini. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Tun Ramli Ngah Talib mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan di Dewan Sri Pinang berkuat kuasa 1 Mei 2025.
Ringkasan AI
- Beliau mengangkat sumpah pada 1 Mei 2025, menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, dengan tempoh pelantikan selama empat tahun.
- Anak jati Pasir Salak ini pernah menjadi Menteri Besar Perak selama 17 tahun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, dan memegang pelbagai jawatan penting dalam UMNO serta kerajaan.
- Majlis di Dewan Sri Pinang disaksikan oleh pemimpin negeri, diiringi kawalan kehormatan dan tembakan hormat, serta diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Pulau Pinang.
Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menerima watikah pelantikan Yang DiPertua Pulau Pinang daripada Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Singgahsana Kecil, Istana Negara pada 24 April lepas.
Ramli dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Mei 2025 hingga 30 April 2029.
Pelantikan Ramli bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang menyandang jawatan itu bermula 1 Mei 2021.
Ramli juga adalah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang keempat yang bukan berasal dari negeri itu.
Majlis angkat sumpah itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Pulau Pinang, Mohd Sukki Othman.

Tun Ramli Ngah Talib (dua, kiri) memberi tabik hormat semasa memeriksa kawalan kehormat pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Kesembilan di Dewan Sri Pinang hari ini. - Foto Bernama
Terdahulu, Ramli memeriksa barisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Mejar Mohd Solleh Jamal.
Sebanyak 17 das tembakan dilepaskan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja sebaik upacara angkat sumpah selesai dijalankan.
Turut hadir isteri Ramli , Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan barisan kepimpinan negeri.
Anak jati Pasir Salak, Perak yang dilahirkan pada 16 Mac 1941 itu mempunyai pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran.
Ramli menjadi Menteri Besar Perak selama 17 tahun dari 1982 hingga 1999, sekali gus menjadikan beliau sebagai Menteri Besar Perak paling lama berkhidmat dalam sejarah negeri berkenaan selain menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Kerjaya politiknya bermula pada 1978 apabila dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah dan seterusnya dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Selepas meninggalkan pentadbiran negeri, Ramli terus menyumbang di peringkat nasional sebagai Ahli Parlimen Pasir Salak bermula 2004 dan dalam penggal pertamanya sebagai wakil rakyat, beliau diberi kepercayaan untuk mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sebelum menjawat jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 2004 hingga 2008.
Beliau juga pernah memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2000 hingga 2004, dan kepimpinannya dalam UMNO juga terserlah apabila beliau menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak selama 16 tahun iaitu dari 1984 hingga 2000 dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama lebih dua dekad.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami