KUALA LUMPUR: Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa, kes tuntutan tunggakan cukai pendapatan, berjumlah RM9.41 juta berada dalam proses penyelesaian.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain kemudiannya menetapkan 15 Disember ini, untuk mendengar perkembangan terbaharu itu.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya tiada penyelesaian, mahkamah akan meneruskan prosiding kerana kes terbabit telah berlangsung agak lama.

Roz Mawar berkata demikian selepas peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam memohon penangguhan pendengaran ini kerana terdapat perkembangan baharu (menyelesaikan saman).

Selepas prosiding, Rajan yang mewakili Muhammad Shafee selaku defendan berkata, kedua-dua pihak masih berunding untuk menyelesaikan kes.

“Kita kena tunggu sama ada ia akan diselesaikan secara baik atau sebaliknya,” kata peguam itu.

Sementara itu, peguam Hasil Kanan, Al-Hummidallah Idrus yang mewakili LHDN berkata, defendan telah menghantar cadangan penyelesaian awal bulan lalu manakala balasan daripada agensi ini, dibuat beberapa minggu kemudian.

Pada Mei 2021, Muhammad Shafee memfailkan permohonan penghakiman terus dengan alasan tuntutan cukai itu adalah serangan terhadapnya sebagai mangsa politik atas kapasitinya sebagai peguam Datuk Seri Najib Tun Razak dan dianggap sebagai peguam UMNO sedangkan dia bukan peguam parti berkenaan.

Muhammad Shafee mendakwa ia dilakukan pada 10 Ogos 2018 iaitu dua hari selepas pertuduhan 1Malaysia Development Berhad dikenakan terhadap Najib.

Ia turut membabitkan tindakannya mengeluarkan beberapa kenyataan media yang mengkritik kerajaan Pakatan Harapan, kemudian beliau dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi kenyataan berhubung penerimaan RM9.5 juta.

Susulan kenyataan kepada SPRM, Muhammad Shafee mendakwa satu mesyuarat telah diadakan pada September 2018 antara LHDN, SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membincangkan tindakan terhadapnya bertujuan tidak menggalakkannya bertindak sebagai peguam Najib.

Pada 27 September 2021, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.

LHDN yang memfailkan saman itu pada 6 Mei 2021, mendakwa sehingga kini, peguam tersebut masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

Pada 28 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhammad Shafee daripada dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

Bagaimanapun, pendakwaan pada 1 November 2022 telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu. - Sinar Harian