KUALA LUMPUR: Felcra Bhd (Felcra) mempunyai tunggakan hutang yang tidak mampu dibayar berjumlah RM312.22 juta pada tahun 2021 berbanding RM82 juta pada tahun 2020, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2.

Laporan itu berkata berdasarkan surat pengesahan baki bertarikh 10 Januari, 2022 daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia menegenai baki pinjaman tertunggak Felcra dengan Kerajaan Persekutuan, Felcra masih berhutang dengan Kerajaan sebanyak RM3.67 billion setakat 31 Disember, 2021.

"Baki pinjaman ini merupakan 69 peratus daripada keseluruhan liabiliti Felcra yang berjumlah RM5.32 bilion," kata laporan tesebut.

Menurut LKAN mengenai petunjuk prestasi utama kewangan, Felcra memaklumkan bahawa ia tidak mencapai hanya satu daripada enam petunjuk perspektif, penurunan kos pentadbiran.

Felcra mengaitkan kegagalan itu disebabkan peningkatan perbelanjaan disebabkan program tanggungjawab sosial korporatnya berjumlah RM10 juta yang tidak dibajetkan pada awal tahun.

Secara keseluruhannya berdasarkan skop audit, objektif FELCRA untuk menyatukan, menghidupkan semula dan membangunkan tanah-tanah milik ahlinya dicapai melalui aktiviti utama dengan melaksanakan mandat sosialnya (melalui program Pengurusan Penyatuan dan Pemulihan Ladang atau P&P) dan perniagaan komersial.

"Dalam aspek keberhasilan, Kerajaan tidak menerima dividen daripada FELCRA bagi tempoh tahun 2019 hingga 2021, namun program P&P telah memberi impak positif serta dapat meningkatkan taraf hidup peserta dengan agihan dividen yang diterima," katanya.

Pengurusan aktiviti perladangan adalah tidak cekap kerana tidak mematuhi jadual perancangan pembajaan dan jadual pusingan penuaian serta tenaga kerja asing (TKA) yang telah tinggal melebihi tempoh sah laku Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), kata laporan tersebut.

Setakat bulan April 2022, tiada pembayaran dividen oleh syarikat subsidiari dibuat bagi tempoh tahun 2019 hingga 2021 kerana pengauditan penyata kewangan bagi tempoh tersebut belum dimuktamadkan.

Pihak yang berkepentingan perlu mengambil langkah untuk membantu peserta yang tidak menerima dividen bagi menyelesaikan masalah kos operasi dan projek tidak berdaya maju serta dividen belum agih terkumpul berjumlah RM67.14 juta hendaklah diserahkan kepada peserta dan pemegang amanah secepat mungkin.

Felcra juga disyorkan memaksimumkan pengisian tenaga kerja ladang selaras dengan keperluannya supaya dapat meningkatkan produktiviti hasil tuaian dan pendapatan syarikat pada tahap optimum serta mengguna pakai sistem secara digital bagi pengurusan penyenggaraan kilang sawit seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 negara.

Selain itu, setakat bulan April 2022, Felcra mempunyai pegangan saham antara 53 peratus hingga 100 peratus dalam 22 syarikat subsidiari dan sembilan syarikat usaha sama dengan pegangan saham antara 8.75 peratus hingga 50 peratus.

-- BERNAMA