Pihak pendakwaan hari ini menarik balik pertuduhan ke atas seorang remaja yang mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dengan aksi ‘wheelie’ selepas remaja itu meninggal dunia.

Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Hashimah Hashim memaklumkan kepada Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan bahawa pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap Muhamad Azrul Mat Ali, 20, selepas ibunya memberitahu anaknya meninggal dunia pada 2 Ogos lepas.

“Memandangkan tertuduh telah meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya pada 2 Ogos lepas, maka mohon pertuduhan ditarik balik,” katanya.

Hari ini ditetapkan untuk mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Muhamad Azrul selepas laporan sosialnya dikemukakan kepada mahkamah.

Pada 25 Julai lepas, remaja itu mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut di Jalan Raja Laut di sini, pada 1.45 pagi, 24 Julai lepas mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.

Di mahkamah sama, seorang suri rumah Chan Yoke Ching, 48, didenda RM2,800 atau dipenjara tiga bulan kerana memandu kereta di bawah pengaruh alkohol di Jalan Loke Yew menghala Cheras, di sini, pada 4 pagi, 26 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda maksimum RM6,000 dan boleh juga dipenjarakan sehingga 12 bulan serta lesen percubaan dibatalkan.