PETALING JAYA: Seorang lelaki yang mengugut pemandu e-hailing wanita dengan menunjukkan sepucuk pistol mainan dicekup polis, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.25 petang Isnin lalu, mangsa yang berusia 36 tahun itu dalam perjalanan mengambil penumpangnya di One Damansara Kondominium, di sini.

Beliau memberitahu, setibanya di Jalan PJU 10/3 Damansara Damai, apabila sebuah kereta Proton Wira yang berada di hadapannya bergerak secara teragak-agak, mangsa bertindak membunyikan hon.

"Berang dengan tindakan wanita itu, suspek menunjukkan objek menyerupai pistol melalui tingkap keretanya," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.


Susulan daripada laporan itu, Nik Ezanee berkata, polis menahan suspek yang berusia 32 tahun di sebuah rumah di Jalan Mahogani SD 1/3, Bandar Sri Damansara, kira-kira pukul 12.05 tengah malam Rabu.

Katanya, polis turut merampas pistol mainan tertulis made in China 2697 berserta peluru yang diselitkan di pinggang suspek dan sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam.

"Berdasarkan keterangan awal, suspek mengaku berbuat demikian kerana marah dengan tindakan mangsa yang membunyikan hon," ujarnya lagi.

Semakan juga kata beliau mendapati, suspek mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kes dadah.

Nik Ezanee memberitahu, suspek kini ditahan reman selama tiga hari bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana  melakukan ugutan jenayah dijalankan.

Seksyen 506 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.