KUALA LUMPUR: Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Tan Sri Rafiah Salim dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu.

Perisytiharan lantikan tersebut disempurnakan oleh Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Majlis Konvokesyen Ke-51 UKM, pada Sabtu.

Tuanku Muhriz dalam titahnya menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaannya kepada kedua-dua Pro-Canselor baharu UKM itu.

“Kedua-dua tokoh ini mempunyai latar belakang yang berbeza dan amat berpengalaman dalam bidang masing-masing.

“Kehadiran mereka bersama dengan Pro-Canselor sedia ada iaitu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, sudah pasti akan memantapkan pengurusan UKM dalam merencana masa hadapan UKM,” titah baginda.

Baginda juga bertitah agar semua warga UKM sentiasa mendokong aspirasi penubuhan universiti tersebut.

“Misi dan visi penubuhan UKM seharusnya menjadi penggera yang sentiasa menyeru semua warga kepada sebuah anjakan paradigma, dalam usaha memperkembangkan sektor pendidikan tinggi di rantau ini.

“Sebagai universiti watan yang berperanan dalam memperkasa agenda negara bangsa, UKM memikul tanggungjawab yang sangat besar kepada negara.

“Oleh itu, pendidikan di UKM harus dijelmakan berdasarkan ekosistem pendidikan kebangsaan yang meliputi semua aspek kemanusiaan,” titah baginda.

Tunku Ali Redhauddin dikenali sebagai seorang yang aktif dalam pelbagai aktiviti dan program yang melibatkan institusi pendidikan mahupun dalam badan-badan bukan kerajaan dan bidang pelaburan.

Tunku Ali Redhauddin juga menganggotai Ahli Lembaga Pengarah di beberapa syarikat di bawah pelaburan TPG Capital, termasuk CVS KL, Pathology Asia Holdings, dan Colombia Asia.

Pendekatan beliau terhadap melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat sentiasa dipikul dengan penuh amanah melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti.

Sementara itu, Tan Sri Rafiah pula sebelum ini pernah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung, Pengurusan Sumber Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari tahun 1997 hingga 2002.

Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama dipilih memegang jawatan besar berkenaan.

Rafiah juga pernah dilantik sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia pada 1995.