Tunku Ismail rasmi Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru

Tunku Mahkota Ismail berkenan mencemar duli merasmikan landasan rel berkembar itu di Stesen Kempas Baru, Johor Bahru yang turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
JOHOR BAHRU: Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) secara rasmi disempurnakan hari ini, menandakan fasa baharu dalam pemodenan sistem rel negara.
Perjalanan antara Kuala Lumpur dan Johor kini lebih pantas, selesa dan mudah diakses apabila perkhidmatan tren elektrik 3 (ETS3) KL Sentral–JB Sentral secara rasmi bermula 12 Disember ini.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan mencemar duli merasmikan landasan rel berkembar itu di Stesen Kempas Baru, Johor Bahru yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PLBEGJB melibatkan jajaran sepanjang 192 kilometer dan 11 stesen moden bagi meningkatkan kapasiti perjalanan serta memperkukuh rangkaian koridor ekonomi Johor-Selatan.
Tren baharu enam gerabak itu mempunyai 312 tempat duduk itu, merangkumi satu gerabak kelas perniagaan yang menawarkan tempat duduk lebih luas, hidangan percuma serta beberapa ciri keistimewaan lain.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika berucap memaklumkan, ETS sektor selatan ini akan mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru kepada kira-kira empat jam setengah, berbanding mencecah tujuh jam sekiranya menggunakan kereta atau bas.
“Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi tambah baik perkhidmatan pengangkutan awam dari utara ke selatan Semenanjung Malaysia.
“Jajaran dengan pembinaan 11 stesen baharu antaranya Segamat, Genuang, Labis, Bekok, Paloh, Kluang, Mengkibol, Rengam, Layang-Layang, Kulai dan Kempas Baru dapat meningkatkan keupayaan infrastruktur pengangkutan, menaiktaraf rangkaian keretapi negara dan memperkenalkan perkhidmatan landasan berkembar elektrik sepenuhnya.
“Dengan kelajuan 140 kilometer sejam, perjalanan guna ETS dari Johor Bahru ke KL Sentral hanya ambil masa empat jam setengah, menjadikan keseluruhan masa perjalanan dari Johor Bahru ke Padang Besar, Perlis kira-kira 10 jam setengah,” katanya.
Mulai Jumaat ini, empat perkhidmatan KL Sentral-Kluang yang sedia ada akan dilanjutkan ke JB Sentral, menyediakan sambungan terus bagi penumpang dari selatan ke Kuala Lumpur.
Jadual harian bagi perkhidmatan tersebut ialah dua perjalanan dari KL Sentral (7.45 pagi dan 5.35 petang) serta dua perjalanan dari JB Sentral (8.40 pagi dan 4.20 petang), dengan tambang sehala bermula RM82.
Pembinaan jajaran selatan itu bermula pada 2017, dengan sasaran awalnya siap pada Oktober 2021.
Bagaimapun, projek berkenaan mengalami kelewatan lebih tiga tahun akibat pandemik COVID-19 serta isu pengambilan tanah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


