NATIONAL
Tunku Ismail titah sekolah berhampiran kebakaran hutan ditutup

Tunku Ismail Sultan Ibrahim diberi penerangan mengenai perkembangan operasi pemadaman api ketika berangkat melawat lokasi kebakaran di Gelang Patah, Johor. - Gambar Facebook HRH Crown Prince of Johor
Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan agar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang di Gelang Patah ditutup sementara demi kesihatan pelajar-pelajar sekolah berkenaan.
SMK Tanjung Adang yang terletak berhampiran dengan kawasan kebakaran itu mempunyai seramai 200 pelajar.
Baginda yang berkenan melawat lokasi kebakaran dan sekolah berkenaan sebelum itu telah diberi taklimat perkembangan operasi pemadaman api oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Datuk Yahaya Madis.
Operasi pemadaman api di hutan yang terbakar pada 21 Ogos lalu membabitkan kekuatan pasukan lebih 70 pegawai dan anggota.
Kebakaran hutan yang merebak sehingga seluas 98 hektar itu dipercayai berlaku akibat cuaca panas dan kering yang melanda negeri Johor.
Laman Facebook rasmi Tunku Ismail, HRH Crown Prince of Johor turut memuat naik catatan dan beberapa gambar berkenaan lawatan baginda itu.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mencadangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor supaya menutup sementara dua sekolah yang berada berdekatan dengan lokasi kebakaran hutan di Gelang Patah, dekat Iskandar Puteri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon berkata dua sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Adang dan SMK Tanjung Adang.
Penutupan itu perlu dilakukan kerana asap kebakaran itu boleh menjejaskan kesihatan murid dan pelajar, katanya selepas menyertai operasi pembersihan khas sampah haram di Taman Lagenda Putra, di Kulai, hari ini.
Katanya, beliau turut bersama Tunku Ismail turun padang ke dua sekolah tersebut bagi melihat sendiri kesan pencemaran akibat kebakaran tersebut.
“Memang tadi sudah ada cadangan untuk menutup sementara sekolah tetapi itu kena berhubung dengan pegawai pendidikan untuk maklumat seterusnya,” katanya.
Semalam, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Pembelajaran), Sallina Hussain memberitahu sesi pembelajaran di kedua-dua sekolah itu masih berlangsung seperti biasa kerana pihaknya belum lagi menerima apa-apa keputusan atau arahan daripada JAS untuk menutup sementara atau memberikan cuti kepada sekolah berkenaan.
Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, Jabatan Pendidikan Negeri Johor sudah memberi topeng mulut kepada pelajar bagi mengelakkan mereka daripada menghidu asap kebakaran.
Kebakaran hutan sejak 21 Ogos lepas itu telah merebak sehingga seluas 98 hektar dipercayai akibat cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami