JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor, berangkat ke Majlis Perasmian Penutup Majlis Tilawah Al-Quran Kali Ke-68 dan Menghafaz Al-Quran.

Majlis tersebut berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang semalam.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook Tunku Mahkota Ismail, dengan beberapa foto mengenainya turut dikongsi di platform media sosial itu.

Berangkat sama adinda Pemangku Sultan Johor iaitu Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim serta Keluarga Diraja Johor.

Turut hadir Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid.

Majlis Tilawah Al-Quran dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Johor 2024M/1445H itu diadakan bermula Isnin lepas (4 Mac).

-- BERNAMA