KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mengecam dua insiden serangan terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dan Akhyar Rashid.

Menerusi status yang dimuat naik dalam Facebook Johor Southern Tigers, baginda yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat kes tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Saya mengecam kejadian yang melibatkan pemain bola sepak, Faisal Halim dan Akhyar Rashid susulan keselamatan serta kesejahteraan mereka diganggu oleh individu-individu tidak bertanggungjawab.

“Saya berharap agar Polis Diraja Malaysia segera menyiasat kes-kes tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” titah baginda.


Astro AWANI pada Ahad melaporkan pemain sayap Selangor FC, Faisal cedera di muka, kepala dan badan akibat disimbah cecai dipercayai asid.

Selangor FC menerusi satu kenyataan menegaskan pihaknya memandang serius insiden yang menimpa Faisal pada petang Ahad itu.

Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan PDRM dan pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terlibat.

Menerusi satu kenyataan pada Ahad, Selangor FC menyeru penyokong dan peminat bola sepak negara memberi sokongan moral kepada Faisal dan keluarganya.