NATIONAL
Tunku Mahkota Ismail titah ADUN Johor fokus berkhidmat untuk rakyat

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkenan bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama (Bagi Penggal Persidangan Ke-4, DUN Johor yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini. - Foto Bernama
ISKANDAR PUTERI: Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya fokus berkhidmat untuk rakyat.
Ringkasan AI
- Tanggungjawab ADUN untuk Rakyat: Tunku Mahkota Ismail mengingatkan ADUN agar fokus kepada tugas mereka dalam membangunkan Johor dan meningkatkan taraf hidup rakyat, bukan sekadar berpolitik.
- Inisiatif Pendidikan & Tadbir Urus: Baginda mencadangkan kerjasama dengan Universiti Harvard untuk meningkatkan kemahiran Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS), bagi memastikan pentadbiran negeri mencapai standard tinggi.
- Pelaburan dalam Modal Insan: Tunku Ismail menekankan kepentingan pendidikan progresif dan menyeru Kerajaan Persekutuan menyokong inisiatif Johor seperti Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) untuk membangunkan modal insan berkualiti tinggi.
"Bangsa Johor memerlukan ADUN yang bertanggungjawab dan berkesan untuk berkhidmat serta membantu negeri ini terus membangun serta meningkatkan taraf hidup," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Keempat Persidangan DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Tunku Ismail bertitah mengharapkan Persidangan DUN Johor terus menjadi contoh sebagai dewan negeri yang harmoni, bukannya medan untuk bertelagah dan melepaskan emosi demi kepentingan politik peribadi.
"Dewan ini adalah wadah untuk membincangkan dasar, menggubal undang-undang dan yang paling utama memperjuangkan nasib serta kebajikan rakyat Johor.
"Saya harap agar keharmonian yang menjadi tradisi DUN Johor akan dicontohi dan terus dipelihara. Jangan biarkan percakaran menjadi budaya dan jangan jadikan dewan ini bahan ketawa rakyat," titah baginda.
Dalam pada itu, Tunku Ismail turut menitahkan kerajaan Johor untuk berbincang dengan Universiti Harvard bagi meneroka pendekatan baharu dalam menyediakan kursus profesional di negeri itu.
Baginda percaya langkah itu adalah satu pelaburan strategik untuk masa depan negeri itu dalam menyediakan Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) yang cemerlang.
Tunku Ismail bertitah menekankan kepentingan Johor ditadbir JCS yang memiliki standard, kualiti dan kemahiran profesional yang tinggi seiring dengan perkembangan pesat negeri.
"Mereka sebagai tulang belakang kepada tadbir urus kerajaan dalam menggubal dasar juga harus membantu pelbagai pelaksanaan inisiatif rakyat serta menjadi jambatan antara kerajaan negeri dan Bangsa Johor," titah baginda.
Tunku Ismail turut bertitah mengharapkan agar Kerajaan Persekutuan menyertai inisiatif negeri itu dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi seperti inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).
"Kita tidak boleh berpuas hati dengan sistem pendidikan yang statik dan ketinggalan zaman. Saya berharap Kerajaan Persekutuan juga bersama-sama menyertai inisiatif Johor dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi," titah baginda.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami