Skip to main content

Malaysia

Tuntutan ganti rugi kontrak peluru berpandu Norway, Malaysia telah ambil semua langkah perlu

KUALA LUMPUR, 25 Jun -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat pameran yang diadakan sempena Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan 2026-2030 yang dilancarkan hari ini.  Turut sama Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamed Khaled menghadiri Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan, di sini hari ini. - Gambar/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil semua langkah perlu bagi menyelesaikan isu tuntutan ganti rugi susulan pembatalan kontrak pembelian sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) keluaran syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar turut telah menyerahkan notis kepada Kerajaan Norway bagi memaklumkan pendirian serta tindakan lanjut Malaysia.

Langkah itu, kata beliau bagi memastikan negara berkenaan bertindak sebagai pengantara dalam sebarang rundingan atau tindakan yang bakal diambil.

“Kita memang bersedia untuk menyelesaikan perkara ini dan sebab itulah sejak awal lagi, kita sudah menghantar notis dan sebagainya.

“Saya percaya Kementerian Luar telah hantar surat kepada Kerajaan Norway untuk menyatakan sekurang-kurangnya Kerajaan Norway mainkan peranan facilitate (memudahkan), mediate (pengantara) antara Kementerian Pertahanan dengan syarikat berkenaan, supaya syarikat itu boleh bayar tuntutan ganti rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan, di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memaklumkan pihaknya telah menerima taklimat khas daripada Kementerian Pertahanan berhubung isu berkenaan.

Sehubungan dengan itu, PAC menegaskan supaya kerajaan memperkukuh segala langkah mitigasi dan diplomasi bagi menjamin penyelesaian yang adil, serta memastikan kedaulatan fiskal negara terus terpelihara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement