KUCHING: Tuntutan berkaitan hak Sarawak dibuat berlandaskan kajian menyeluruh daripada segi perundangan termasuk menilai semula perkara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Antara Kerajaan (IGC).

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penilaian itu telah dibuat oleh barisan menteri dan pasukan peguam bagi mendapatkan fakta penting dalam tuntutan Sarawak.

Mengulas perkara itu, beliau berkata ia antara cabaran yang dihadapi Sarawak dalam memperjuangkan hak yang terhakis di bawah MA63.

“Semasa saya menggantikan Tan Sri Adenan Satem, saya hantar Sharifah Hasidah bersama pasukan peguam pergi ke London (bagi mengkaji peruntukan hak Sarawak dalam MA63), tetapi saya dimarah (pihak tertentu) kenapa mahu pergi ke London, google pun boleh.

“Sekarang, hari ini, siapa yang pergi (ke London)?, Menteri Malaysia yang menjaga Sabah Sarawak bersama Kerajaan Sabah pergi untuk melihat arkib MA63 di London, kita sudah pergi ke sana enam tahun lepas,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa pembukaan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Sabtu.

Ini bermakna kata Abang Johari, setiap langkah yang diambil Kerajaan Sarawak berlandaskan fakta dan undang-undang.

“Maknanya apa yang kita buat, apa yang saya buat dan apa yang rakan dalam kabinet buat adalah selepas kajian dilakukan.

“Inilah cara PBB dalam politik, kita kaji dahulu, sebab itu kalau hendak bersilat, biar betul, kuda-kuda mesti kuat,” katanya.

Sebelum ini kata Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu Sarawak telah berjaya melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) lima peratus ke atas produk petroleum yang dieksport dari Sarawak berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan.

Untuk rekod, setakat ini Sarawak telah memperoleh lebih RM8 bilion hasil daripada pelaksanaan SST dari 1 Januari 2019.