KUALA TERENGGANU: Seorang guru besar wanita direman enam hari di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkomplot membuat tuntutan palsu bagi pembekalan makan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah di Terengganu.

Penolong Kanan Pendaftar, Yuhanis Mohd Roslan mengeluarkan perintah reman terhadap guru besar berusia 46 tahun itu sehingga Isnin depan selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, katanya, perintah reman turut dikeluarkan terhadap pengurus syarikat wanita dan penyelia syarikat lelaki masing-masing berusia 34 tahun tersebut selama dua hari bermula hari ini.

Kesemua suspek itu diwakili peguam daripada Tetuan Rahmat, Wan & Rahmat serta Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

SPRM Terengganu menahan kesemua individu berkenaan di pejabat SPRM Negeri Terengganu ketika hadir memberi keterangan sekitar jam 11 pagi pada Isnin.

Menurut sumber, kesemua individu yang ditahan berhubung kontrak pembekalan makanan bernilai RM1.3 juta.

Katanya, satu operasi yang dilaksanakan oleh SPRM Terengganu mendapati kesemua mereka dipercayai berkomplot dalam mengemukakan tuntutan palsu bermula dari 2022 sehingga 2023.

Menurutnya, dokumen palsu tersebut melibatkan tuntutan ke atas 100 orang murid, sedangkan jumlah murid sebenar hanyalah 35 orang.

SPRM Terengganu turut menjalankan siasatan terhadap tuntutan palsu melibatkan kontrak pembersihan berjumlah RM35,000 di sekolah sama.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta tidak menafikan tangkapan susulan berkaitan siasatan tersebut. - Sinar Harian