KUALA LUMPUR: Keputusan kes rasuah bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd ditangguhkan lagi untuk kali keempat hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun menangguhkan keputusan itu selepas memaklumkan mahkamah belum bersedia untuk menyampaikan keputusan kerana perlu meneliti beberapa perkara lagi.

"Mahkamah menetapkan tarikh baharu pada 6 Julai ini untuk keputusan. Minta maaf ya," katanya.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Otman, 64, dan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol tidak membantah tarikh baharu tersebut.

Prosiding keputusan di akhir kes pembelaan ditangguhkan dua kali pada 30 Mac dan 19 April berikutan Muhammad Rafique memaklumkan pihaknya akan memfailkan hujahan tambahan, sebelum mahkamah menetapkan tarikh baharu pada 12 Mei lepas.

Pada tarikh itu, prosiding dilapangkan dan ditunda hari ini.

Kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Otman sudah berlangsung selama tujuh tahun sejak tertuduh pertama kali didakwa pada 31 Mac 2016 dan pihak pendakwaan telah memanggil 70 saksi untuk memberi keterangan.

Pihak pembelaan kemudian menutup kes itu pada 29 Nov 2022 selepas mendengar keterangan tertuduh yang merupakan satu-satunya saksi pembelaan.

Pada 31 Mac 2016, Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini antara 28 Feb 2012 hingga 18 Nov 2015.

Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad menerusi cek di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 (a) dan Seksyen 23(1)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

-- BERNAMA