Bank Rakyat pada Isnin menegaskan operasi perniagaannya berjalan seperti biasa serta masih menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan tanpa menjejaskan perniagaannya.

Sambil meminta ahli, pelanggan dan pihak berkepentingannya supaya kekal bertenang, bank berkenaan menerusi kenyataan, berkata pihaknya menghormati dan menerima pendapat ahli.

Bank itu merujuk kepada laporan media baru-baru ini berkaitan tuntutan pemansuhan Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 (Akta 202).

"Sebagai sebuah bank koperasi yang mempunyai hampir 900,000 ahli, bank menganggap perbezaan pendapat dalam kalangan ahli adalah perkara biasa terutama untuk sebuah koperasi yang mempunyai jumlah ahli tertinggi di Malaysia.

"Kejayaan Bank Rakyat untuk kekal sebagai bank koperasi Islam yang terbesar di Malaysia adalah didorong sokongan yang diberikan oleh kerajaan kepada bank selama ini," menurut kenyataan itu.

Ia berkata, antara pencapaian Bank Rakyat adalah mengekalkan kadar pembayaran dividen minimum 10 peratus atau lebih sejak 20 tahun lepas kepada ahli.

Selain itu, bank turut mencatat keuntungan lebih RM1 bilion secara konsisten setiap tahun sejak 2008.

"Penarafan institusi kewangan AA2/Stabil/P1 yang diberikan oleh RAM Ratings kepada Bank Rakyat juga berdasarkan kepada status yang disokong oleh kerajaan, seiring dengan kedudukan sebagai bank koperasi serta institusi kewangan pembangunan.

"Pada tahun ini, Bank Rakyat turut mempercepat pembayaran dividen bagi 2019 sebanyak 14 peratus serta pembayaran zakat perniagaan untuk membantu golongan B40 dan asnaf yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan COVID-19," katanya.

Bank Rakyat berkata ia membuktikan bahawa kerjasama yang terjalin dengan kerajaan secara amnya telah banyak memberikan manfaat kepada ahli dan masyarakat setempat.

"Pencapaian ini juga tidak mungkin dapat dicapai tanpa kesetiaan ahli dan pelanggan bank. Justeru, Bank Rakyat merakamkan penghargaan atas sokongan dan keyakinan kepada bank selama ini," menurutnya.

-- BERNAMA