Tuntutan Sabah: ‘Kutip RM10 bilion tapi salur RM17 bilion, kenapa marah?’ - PM

Perdana Menteri berkata, penyelesaian tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan melalui perbincangan dan rundingan yang rasional, bukannya melalui konfrontasi atau ‘berperang’. - Gambar/ Bernama
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kerajaan Persekutuan tidak menafikan hak Sabah berhubung tuntutan 40 peratus hasil cukai, malah menyalurkan lebih banyak dana untuk pembangunan negeri itu.
Menurut beliau, kerajaan mengutip kira-kira RM10 bilion hasil cukai daripada Sabah pada 2024, namun sebanyak RM17 bilion disalurkan semula ke negeri berkenaan, jauh melebihi kadar yang dituntut.
“Saya tadi melawat Jalan Gaya, dengar jeritan tentang hasil 40 peratus Sabah. Dengarlah dulu, fahami dulu. Memang terkandung dalam MA63, tetapi tiga tahun lalu (sejak Kerajaan MADANI mentadbir), kita sudah membincangkannya.
“Berapa Kerajaan Persekutuan belanja untuk Saba... bangunkan sekolah, perubatan, kirim doktor, sempadan ESSCOM, kawal sempadan, pertahanan, semuanya...
"Kita ambil RM10 bilion, kita bagi balik RM17 bilion. Sebab apa? Kerana ini hasil kerjasama antara Persekutuan dan negeri. Kita gunakan hasil untuk membangunkan semua negeri di Malaysia. Sabah sedikit ketinggalan, jadi kita bantu lebih.
“Masa mantan-mantan Perdana Menteri datang ke sini berkempen, berapa dia bagi? Jauh lebih kurang, kamu nak marah saya sebab apa? Saya bagi lebih.
"Masa kamu jadi Perdana Menteri, kenapa tak bagi? Jadi, ini yang jadi persoalan,” katanya ketika berucap dalam Program Rancakkan MADANI Sabah di sini pada Ahad.
Tegasnya, penyelesaian tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan melalui perbincangan dan rundingan yang rasional, bukannya melalui konfrontasi atau ‘berperang’.
Beliau berkata, kerajaan di bawah pimpinannya komited menyelesaikan tuntutan itu secara menyeluruh, antaranya melalui perbincangan dan rundingan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
"Sekarang pun kita sedang berbincang, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. Kita adakan mesyuarat bincang bersama. Jika setuju, kita laksanakan...jika tidak, bincang semula dan runding lagi. Inilah cara kita bekerjasama, bukan untuk ‘berperang’, ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


