KUALA LUMPUR: Teknologi baharu bahan turapan jalan menggunakan campuran bitumen dan sisa plastik terpakai berpotensi besar untuk mengatasi isu kerosakan jalan terutama di kawasan kerap dilalui kenderaan berat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata teknologi itu sedang dikaji Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya dengan kerjasama Petronas Research Sdn Bhd (PRSB).

"Satu kajian pemantauan produk turapan jalan lapisan permukaan haus jenis Stone Mastic Asphalt (SMA) yang menggunakan bitumen terubah suai dengan campuran plastik iaitu Petronas Plastic Modified Bitumen sedang dilaksanakan.

"Produk yang dibangunkan oleh PRSB menggunakan spesifikasi SMA dengan bitumen terubah suai gred PG76 setebal 50mm ini mula diturap di sepanjang 200 meter Jalan Persekutuan FT185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Kelantan, pada 10 Januari lalu.

"Lokasi ini dipilih bagi membuktikan produk ini mempunyai daya tahan yang tinggi memandangkan kawasan tersebut adalah kawasan berbukit dan sering dilalui kenderaan berat.

"Berdasarkan laporan dan pemerhatian, produk ini melepasi ujian bahan dan campuran bahan serta menunjukkan prestasi yang baik di tapak ujian itu sepanjang setahun pemantauan," katanya dalam satu kenyataan selepas meninjau lokasi turapan jalan berkenaan.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah Pengarah Kanan Cawangan Jalan, JKR, Datuk Ir Ibrahim Esa,serta Penasihat Solusi Teknologi Digital, Teknologi dan Pengkomersilan Kumpulan Petronas, Ir Mohamad Faudzi Mohd Yasir.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, secara dasarnya, produk dengan campuran bitumen terubah suai menggunakan bahan buangan plastik tempatan itu boleh dijadikan bahan alternatif turapan jalan.

"Produk ini dijangka mampu mengatasi masalah jalan berlubang serta dapat meningkatkan daya tahan terhadap aluran, selain dapat menyahut seruan kerajaan dalam pembinaan mampan melalui penggunaan bahan terpakai sebagai inovasi dan teknologi baharu dalam pembinaan dan infrastruktur negara.

"Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa komited dalam memastikan jaringan laluan Persekutuan kekal berkualiti melalui inovasi tekologi penyenggaraan yang berterusan.

"Ini selaras dengan hasrat kempen MYJalan yang telah dilancarkan oleh KKR, yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat dengan penglibatan dan tanggungjawab bersama oleh semua pihak," katanya.