PUTRAJAYA: Saluran TV Pendidikan, DidikTV (DidikTV KPM) akan diteruskan dengan menyasarkan kumpulan murid atau pelajar pada masa tertentu meskipun sesi persekolahan secara bersemuka telah dibuka, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin.

Beliau berkata keputusan itu dibuat memandangkan situasi tidak terjangka pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini boleh mempengaruhi sebarang keputusan KPM khususnya dalam konteks sesi persekolahan.

Sehubungan itu, beliau berkata apabila sekolah dibuka sepenuhnya, TV Pendidikan akan terus digunakan sebagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah dan di rumah bagi memberi ruang kepada murid dan pelajar mendapatkan akses pendidikan pada bila-bila masa.

"... dalam kita bergerak ke hadapan, kita tidak tahu apakah keadaan di masa hadapan (situasi COVID-19). Katakanlah, kalau kami tidak buat (TV Pendidikan seperti DidikTV KPM), tiba-tiba datang satu lagi gelombang besar, orang akan cakap mana DidikTV? Jadi, keputusan ini kita sudah ambil kira, sekiranya perkara ini berpanjangan, ini kegunaan DidikTV.

"Kita ada murid daripada pelbagai konteks, sebab itu apabila diwujudkan TV Pendidikan ini, ia merupakan satu platform untuk kita pastikan kita boleh sasar kumpulan murid dengan kaedah tertentu berdasarkan masa tertentu.

"Apabila semua murid sekolah rendah masuk ke sekolah (secara bersemuka) mulai minggu hadapan, maka TV Pendidikan ini fokusnya lebih kepada murid di sekolah menengah khususnya pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, dan begitulah seterusnya," katanya dalam wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin KPM di sini.

Mengulas mengenai cadangan beberapa pihak untuk membatalkan SPM 2020, Radzi berkata keputusan itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya memandangkan ia merupakan antara peperiksaan terpenting dalam negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, sebarang perubahan yang melibatkan peperiksaan SPM perlu dibuat terlebih awal berdasarkan perbincangan dengan agensi yang berkaitan termasuk mana-mana institusi yang memberi akreditasi kepada peperiksaan itu.

"Tidak boleh tukar secara tiba-tiba sebab SPM ini satu peperiksaan yang diiktiraf antarabangsa. Kita tahu bahawa SPM 2020 adalah paling mencabar sekali dalam sejarah dan apabila keadaan tidak begitu sesuai untuk kita melaksanakan peperiksaan, sebab itu kita tangguhkan.

"... untuk memberi ruang kepada pelajar membuat persediaan sebab mereka mengalami tekanan untuk belajar sebab tidak ke sekolah," katanya.

Menteri itu berkata bagi mempercepatkan proses pemarkahan SPM 2020 akibat penangguhan peperiksaan itu, KPM melalui perbincangan bersama pihak berkaitan telah menambah bilangan pemeriksa bagi meningkatkan produktiviti pemeriksaan dalam tempoh yang lebih singkat.

Lembaga Peperiksaan KPM sebelum ini juga pernah memaklumkan proses semakan dan pemarkahan sebahagian kertas ujian peperiksaan utama akan dilakukan secara dalam talian dan bukan lagi secara manual.

-- BERNAMA