TVET Perak: TVET pemangkin masa depan automotif melalui MCYTT

Usaha memanfaatkan program seperti MCYTT dijangka terus memperkukuh pembangunan bakat tempatan, sekaligus menyokong pertumbuhan sektor automotif dan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Perak.
IPOH : Usaha Kerajaan Negeri Perak untuk memperkasa pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) terus dipertingkat melalui penglibatan aktif dalam program Malaysia-China Youth Talent Training (MCYTT), inisiatif kerjasama Malaysia-China di peringkat nasional.
Ringkasan AI
- Perak menghantar belia ke China bagi latihan teknologi automotif dan kenderaan elektrik (EV) di bawah program Malaysia-China Youth Talent Training (MCYTT) untuk memperkasa TVET, menjadikan negeri ini "Koridor TVET Negara".
- Esnet Academy memberi fokus kepada latihan EV bagi menyesuaikan pelajar dengan keperluan industri automotif global yang semakin meluas dalam bidang teknologi EV.
- Program MCYTT memberi peluang peserta memahami teknologi automotif terkini dan memperkukuh kemahiran teknikal, memberi kelebihan dalam industri serta memacu pembangunan bakat tempatan dalam sektor automotif di Perak.
Melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), kerajaan negeri telah menghantar kumpulan pertama 50 belia ke China pada 2024 untuk mengikuti latihan TVET EV dan Autonomous Vehicle (AV) di bawah program MCYTT, selaras dengan aspirasi menjadikan Perak sebagai “Koridor TVET Negara”.
Menurut Pengarah Urusan Esnet Academy, Syed Nasrul Azmi, institusinya menyokong strategi negeri dengan memberi fokus khusus kepada latihan berkaitan EV, satu bidang yang menunjukkan pertumbuhan pesat dalam industri automotif global.
“Kami memang fokus serius pada EV kerana pasaran sekarang banyak kepada EV.
"Peralatan latihan kami dibeli dari China dan yang penting adalah memberi peluang kepada pelajar mempelajari teknologi EV secara mendalam mengikut keperluan semasa industri,” katanya dalam episod khas AWANI Pagi.
Menurut beliau, kebanyakan pengguna hanya mengenali EV secara asas, namun tidak memahami struktur dalaman dan komponen kritikalnya.
Justeru pendedahan TVET yang lebih khusus dan praktikal perlu digerakkan untuk menyediakan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri.
Dalam pada itu, Mentor TVET MCYTT, Muhammad Edry Emil Hakeem, yang mengikuti latihan di China, berkata program tersebut membuka peluang luas kepada peserta untuk memahami teknologi automotif terkini yang belum diterapkan secara meluas di Malaysia.
“Pendedahan yang saya dapat adalah advanced technology. Di negara lain, penggunaan EV sudah mencapai 60 peratus dalam ekosistem mereka. Di China, banyak teknologi EV yang saya lihat dan pelajari yang belum ada di sini,” katanya.
Katanya, pengalaman tersebut bukan sahaja memperkukuh kemahiran teknikal peserta, tetapi turut memberi keyakinan tinggi untuk bersaing dalam industri automotif yang sedang melalui fasa transformasi global.
“MCYTT memberi extra credit kepada pelatih. Ia menjadi sokongan ketika menghadiri temu duga kerana sijil ini membezakan mereka daripada calon lain,” katanya.
Kerajaan Negeri Perak sebelum ini menegaskan komitmen untuk memacu pembangunan TVET, termasuk menghantar belia ke luar negara bagi mengikuti latihan industri berskala antarabangsa, dengan EV dan teknologi automotif masa depan sebagai fokus utama.
Usaha memanfaatkan program seperti MCYTT dijangka terus memperkukuh pembangunan bakat tempatan, sekaligus menyokong pertumbuhan sektor automotif dan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Perak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


