Golongan muda disaran melihat kelebihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) daripada aspek kebolehpasaran graduan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata, tanggapan sesetengah pihak bahawa TVET adalah bidang yang 'terbelakang' harus dikikis kerana graduannya terbukti sering mendapat tempat dalam industri terutama dalam era Revolusi Industri 4.0.

"Bidang TVET telah melalui anjakan paradigma ketika ini dan saya mengalu-alukan penglibatan pemain industri agar latihan yang dijalankan memenuhi kehendak industri pada hari ini.

"Sebab itu kerajaan tranformasikan TVET dan memperkasakannya agar ia menjadi pilihan terbaik buat ibu bapa dan pelajar sekaligus dapat meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan mereka," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Pembangunan Kemahiran Pendidikan TVET@Kedah di sini, pada Ahad.

Beliau berkata terdapat lebih daripada 45 institusi pengajian yang menawarkan pelbagai bidang kemahiran di negeri ini seperti teknologi maklumat, elektrik dan elektronik, jurukimpal marin, kulinari, pertanian dan jahitan.

Mukhriz berkata, pekerja dalam bidang kimpalan di dasar laut (marin) contohnya mampu menjana pendapatan antara RM7,000 hingga RM30,000 sebulan dan bidang-bidang kemahiran lain turut menjanjikan hasil yang lumayan jika dilakukan secara konsisten.

"Semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terutama yang kurang menyerlah (keputusan), saya harap rebutlah peluang dalam bidang TVET ini kerana peluang pekerjaan terbuka luas buat mereka yang ada ilmu kemahiran untuk bekerja dalam sektor perindustrian di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, katanya karnival anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan Pusat Pembangunan Kemahiran Industri dan Pengurusan Kedah (KISMEC) bertujuan mendedahkan kepada masyarakat tentang kepentingan bidang kemahiran serta hala tuju pelajar.

-- BERNAMA