Satu demi satu program bantuan diperkenalkan kerajaan, dengan harapan agar ia sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan dan meringankan beban kenaikan kos sara hidup yang ditanggung rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memasuki tahun ketiga misalnya, merupakan yang paling dinanti-nanti mereka yang layak.

Tahun ini sahaja, melalui BR1M3.0, kira-kira 7.9 juta rakyat beroleh manfaat daripada pelaksanaan program itu, yang menyaksikan peruntukan berjumlah RM4.6 billion diagihkan sejak 22 Feb lepas.

Malangnya bantuan yang disalur kerajaan itu disalah guna oleh sebilangan penerima.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini mendedahkan bahawa terdapat ramai penerima yang menggunakan bantuan itu untuk tujuan salah termasuk berjudi.

"Dapat sahaja BR1M, kafe siber di ibu kota ini penuh. Kenapa? Ramai yang pergi main judi (dalam talian). Malah kompleks beli-belah penuh, semua pergi shopping (membeli-belah) macam-macam yang tak patut," katanya dipetik sebagai berkata.

Jika ini yang berlaku, jelaslah hasrat kerajaan untuk meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah melalui pemberian BR1M tidak tercapai.

Mengulas hal itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata sasaran BR1M terlalu umum dan longgar menyebabkan mudahnya bantuan itu diterima oleh mereka yang tidak layak malah disalah guna.

"Kerajaan perlu mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk menyemak dan menilai kembali kriteria permohonan BR1M agar mereka yang benar-benar layak sahaja memperoleh bantuan tersebut," katanya kepada Bernama.

BR1M3.0 kali ini memperlihatkan kemurahan hati kerajaan apabila pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650.

Bagi individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M3.0 turut diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Ahmad Atory mencadangkan agar kerajaan menggunakan kaedah pembayaran lain, antaranya memasukkan kredit ke dalam MyKad penerima bagi pembelian barangan keperluan asas, sekaligus memastikan tidak berlaku salah guna pemberian itu.

"BR1M tidak perlu dihentikan tetapi langkah pemberian BR1M mungkin boleh diubah, dengan tidak melalui wang tunai tetapi dimasukkan dalam kad diskaun khas atau MyKad untuk membeli barang keperluan atau juga melalui baucar sebagai mana Baucar Buku 1Malaysia... itu lebih baik bagi mengelak salah guna," katanya.

Penerima BR1M, kata beliau seharusnya memanfaatkan bantuan tersebut bagi meringankan sedikit beban yang dihadapi atau menyimpan di dalam akaun pelaburan meskipun angka bantuan itu kecil atau menggunakannya untuk waktu kecemasan.

Sementara itu, ahli ekonomi Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan Universiti Malaya Dr Fatimah Kari berkata usaha kerajaan untuk menyelami masalah yang terpaksa ditanggung oleh rakyat demi memastikan rakyat hidup dalam keadaan selesa wajar diberi pujian.

Namun, kata beliau pemberian BR1M perlu digantikan dengan bantuan yang lebih berkesan dan holistik untuk jangka masa panjang.

BR1M, menurutnya, hanya memberi manfaat jangka masa pendek kepada penerima dan langsung tidak membantu menyelesaikan masalah kemiskinan yang dihadapi oleh rakyat.

"Pemberian BR1M harus dihentikan segera kerana tidak efektif untuk membantu golongan berpendapatan rendah dalam jangka panjang dan ia perlu digantikan dengan bantuan bersifat perlindungan sosial kepada mereka.

"Contohnya akses kepada perlindungan insurans, perubatan dan pendidikan, selain mencipta peluang pekerjaan dan beri galakan kepada golongan miskin untuk menceburi bidang keusahawanan... ini semua membantu untuk jangka masa panjang," katanya.

Fatimah berkata pemberian BR1M secara berterusan dikhuatiri tidak mampu menyokong dan merealisasi hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Jika pun BR1M diteruskan, ia tidak perlu diperluaskan lagi jumlahnya, kerana dalam jangka panjang ia membahayakan kewangan negara dan akan menjejaskan kemampuan negara mencapai Wawasan 2020," katanya.

Benarkah ada individu yang tidak layak turut memohon dan menerima bantuan itu?

Mengulas perkara itu, Fatimah berkata sekiranya pemberian BR1M diteruskan pada masa hadapan, kerajaan perlu memperketatkan syarat dan memastikan bantuan itu diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja.

"Sejak pemberian BR1M, banyak kes yang melibatkan individu tidak memohon tetapi menerima bantuan tersebut, malah ada yang bergaji tinggi dan tidak layak menerima tetapi permohonan mereka turut diluluskan.

"Mereka yang mampu dan tidak lagi layak menerima bantuan seharusnya perlu ada rasa tanggungjawab dengan memaklumkan kepada kerajaan agar bantuan itu hanya disalurkan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Seorang jurutera yang hanya ingin dikenali sebagai Mohamad, 28, berkata tidak salah untuk berbelanja dengan pelbagai cara memandangkan keperluan setiap individu adalah berbeza dan tidak semestinya terhad kepada makanan ataupun barangan dapur.

"Mungkin ketika itu si penerima memang memerlukan pakaian atau kelengkapan baru, barangan penjagaan diri, membeli peralatan sukan atau persekolahan anak, membaiki kereta atau melangsaikan hutang.

"Tidak salah untuk mereka 'shopping' selagi tidak menggunakannya ke jalan yang salah seperti berjudi atau membeli sesuatu yang tidak diperlukan," katanya.

Namun, beliau tidak menafikan ada penerima yang membelanjakan BR1M pada jalan salah, seperti yang dilakukan rakan sekerjanya yang merupakan 'tahi judi' dan menggunakan wang bantuan BR1M untuk bertaruh dalam permainan mesin kuda.

"Malah ada penerima bergaji besar dan memandu kereta mewah, isterinya juga bekerja tetapi menerima bantuan BR1M, sedangkan jumlah gaji seisi rumah jelas tidak layak," katanya.