ALOR SETAR: Empat buah treler dengan nombor pendaftaran negara jiran ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Kedah di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu kerana disyaki menyeludup minyak diesel pada 7 November lalu.

Pengarah JKDM Negeri Kedah, Nor Izah Abd Latiff berkata, semua kenderaan itu ditahan dalam Ops Gegar di antara jam 8 malam hingga 8.30 malam.

Menurutnya, empat buah treler itu dalam perjalanan menuju ke negara jiran dan pemeriksaan mendapati tangki keempat-empat kenderaan itu telah diubah suai dan terdapat ruangan khas yang dipercayai diisi dengan minyak diesel.

"Pemeriksaan rapi pasukan telah menemui minyak diesel di dalam tangki dan ruangan khas iaitu 800 liter diesel dalam treler pertama, 1,100 liter diesel dalam treler kedua, 890 liter diesel dalam treler ketiga dan 940 liter dalam treler keempat.

"Jumlah rampasan minyak diesel dianggarkan sebanyak 3,730 liter dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM8,019.50 manakala nilai kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,050,000," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Alor Setar pada Selasa.

Nor Izah berkata, empat pemandu yang ditahan juga merupakan warganegara asing berusia 20-an hingga 50-an.

Jelasnya, hasil risikan yang dilakukan mendapati minyak diesel diperoleh dari gudang yang berada dalam Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam.

"Minyak diesel akan diisikan ke dalam tangki yang diubah suai dan diseludup keluar ke negara jiran melalui ICQS Bukit Kayu Hitam," ujar beliau.

Tambah Nor Izah, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang tidak berkastam atau larangan.

Jika disabit kesalahan, bagi kesalahan pertama denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM50,000 mengikut mana yang lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua pula, denda tidak kurang dari 20 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 40 kali nilai barang atau RM1 juta, yang mana lebih besar atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian