Uber, syarikat antarabangsa yang menawarkan perkhidmatan tempahan pengangkutan menerusi aplikasi telefon pintar, menempelak tindakan beberapa pihak yang menggunakan media untuk “menakut-nakutkan” pengguna pengangkutan awam di Malaysia .

Uber dalam satu kenyataan terkini di blognya (http://blog.uber.com/KLfacts) menamakan dua pemimpin tertinggi persatuan teksi terbabit yang dikatakan cuba “menakut-nakutkan” pengguna di Malaysia.

“Timbalan presiden Gabungan Persatuan dan Syarikat-Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (GABUNGAN), Datuk Mohd Alias Abdul bersama pengarah eksekutif Sunlight Radio Taxi Service Sdn Bhd, Ab Jalil Maarof cuba menakut-nakutkan pengguna Malaysia daripada (menggunakan perkhidmatan) Uber.”

Perkhidmatan Uber di Kuala Lumpur menjadi topik hangat di media massa pada Rabu ekoran kenyataan yang dibuat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang melabelkan perkhidmatan itu setaraf “kereta sapu.”

SPAD sebelum ini berkata Uber telah melakukan beberapa kesalahan seperti menggunakan kenderaan peribadi bagi mengangkut penumpang serta menggunakan khidmat pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

SPAD dikhabarkan telah cuba menghubungi dan menghantar emel kepada pihak Uber, namun masih belum menerima maklum balas daripada pihak penyedia perkhidmatan dalam talian tersebut.

Uber dalam entri terbaharunya berkata: “Uber mengalu-ngalukan peluang untuk berbincang dengan pihak kerajaan dan bukan kerajaan tentang bagaimana inovasi boleh mengubah sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur.”

Dalam perkembangan berkaitan, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) menyeru pihak penguatkuasa pengangkutan awam untuk memfokus usaha ke arah mereformasi perkhidmatan teksi di Kuala Lumpur dan bukannya mencari salah perkhidmatan alternatif tersebut.

Menurut kenyataan yang dibuat ketua pegawai eksekutifnya, Wan Saiful Wan Jan, kerajaan sepatutnya mengalu-alukan kehadiran perkhidmatan seperti Uber dan memantapkannya setelah ia dilihat menerima sambutan baik daripada kalangan pengguna.

"Hakikat bahawa ramai yang memilih Uber walaupun ia tidak dikawal selia menunjukkan tahap keyakinan orang awam terhadap perkhidmatan teksi sedia ada yang diselaraskan,” kata Wan Saiful.

"Penyelesaiannya ialah bukan dengan mengharamkan Uber. Sebaliknya, memantapkan perkhidmatan teksi setaraf Uber,” katanya lagi.