Uber, syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan menerusi aplikasi telefon pintar bukan sahaja telah menimbulkan masalah di Kuala Lumpur, ia juga telah menimbulkan masalah di Jakarta.

Baru-baru ini, Timbalan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama telah menggesa syarikat itu supaya menghentikan operasinya kerana tidak memiliki permit pengangkutan awam.

Menurut laporan The Jakarta Globe, beliau menekankan keperluan Uber Technologies untuk mendapatkan lesen dari agensi pengangkutan bandar tersebut.

Katanya kemungkinan besar syarikat itu tidak memiliki nombor pendaftaran cukai, selain butiran tentang alamat premis dan maklumat pemilik.

"Mereka perlu permit untuk menjelaskan tentang status syarikat. Mereka sedang melakukan perniagaan di Indonesia, dan kita ada peraturan," kata beliau yang lebih dikenali sebagai Ahok itu seperti yang dipetik The Jakarta Globe.

Katanya jika sesebuah syarikat itu mengaut keuntungan, ia perlu membayar cukai, dan jika ia tidak mempunyai permit bermakna ia tidak membayar cukai dan ia sama seperti lari dari cukai.

Ahok berkata keselamatan penumpang juga mungkin akan terjejas kerana teksi yang sah akan mempunyai butiran mengenai pemandu serta nombor kenderaan, dan kenderaan Uber tiada butiran seperti itu.

Selain Jakarta, pihak berkuasa Berlin juga telah mengarahkan supaya perkhidmatan applikasi Uber diharamkan di bandaraya itu atas faktor-faktor keselamatan.

Menurut The Guardian, perkhidmatan itu tidak memberikan perlindungan yang secukupnya kepada penumpang.

Seorang anggota Senat berkata, Uber gagal membekalkan perlindungan insuran kepada pemandu serta penumpang yang dibawa sendainya berlaku kemalangan.

"Uber tidak lagi dibenarkan menggunakan aplikasi telefon pintar atau aplikasinya sepertinya, atau memberi apa-apa perkhidmatan melalui aplikasi yang melanggar peraturan Akta Pengankutan Awam," katanya mengulas tentang penggunaan Uber yang turut dilarang di Hamburg.

Bagaimanapun mahkamah Hamburg pada bulan telah lalu menarik balik larangan tersebut sementara menunggu keputusan muktamad.

Sementara itu, Menteri Kewangan Australia Selatan, Tom Koutsantonis perpandangan bahawa perkhidmatan tersebut boleh mendatangkan risiko kepada penumpang.

Katanya menerusi temubual ABC Radio, adalah amat bahaya apabila penumpang menggunakan perkhidmatan Uber kerana mereka tidak tahu siapa pemandunya.

Di Australia, kerajaan New South Wales dan Queensland telah mula mengambil tindakan terhadap Uber atas alasan syarikat itu tidak mematuhi peraturan perkhidmatan teksi.

Terbaru, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam satu kenyataan telah meminta Uber mematuhi undang-undang berhubung perkhidmatan itu kepada pelanggan di Malaysia.

Menurut SPAD, syarikat itu melakukan beberapa kesalahan seperti menggunakan kenderaan peribadi bagi mengangkut penumpang - satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.