Universiti Teknologi MARA (UiTM) menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam dua kategori utama iaitu Reputasi Majikan dan Reputasi Akademik dalam Edisi 2021, QS World University Ranking.

Reputasi Majikan UiTM cemerlang di tangga ke-179 dunia melonjak 72 anak tangga berbanding tahun lepas, manakala untuk Reputasi Akademik menunjukkan peningkatan sebanyak 27 anak tangga di tangga ke-366, hasil sumbangan rakan sejawatan dari universiti luar negara.

Penarafan QS World University Ranking menilai universiti berdasarkan enam kategori utama iaitu Reputasi Akademik (Academic Reputation), Reputasi Majikan (Employer Reputation), Sitasi per Fakulti (Citations per Faculty), Pelajar Fakulti (Faculty Student), Fakulti Antarabangsa (International Faculty) dan Pelajar Antarabangsa (International Students).

UiTM kekal berada di kedudukan 651-700 daripada 1,002 buah universiti seluruh dunia yang disenaraikan di bawah penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2021, iaitu 55 peratus peningkatan berbanding tahun lalu.

Sementara itu, Massachusetts University (MIT) kekal mengungguli kedudukan terbaik di dunia, manakala Nanyang Technological University menjadi universiti terbaik di Asia dengan kedudukan ke 11 di dunia.

Universiti tertua di Malaysia, Universiti Malaya (UM) pula kekal menjadi universiti terbaik di Malaysia dengan kedudukan ke-59 di dunia.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim, pencapaian cemerlang dalam kategori Reputasi Majikan jelas membuktikan graduan UiTM kekal mendapat kepercayaan dan menepati kehendak majikan manakala peningkatan yang memberangsangkan dalam kategori Reputasi Akademik menunjukkan tanda keberhasilan usaha-usaha ke arah pembawaan UiTM sebagai universiti bertaraf antarabangsa.

“Pencapaian cemerlang dalam Reputasi Akademik dan Reputasi Majikan ini sebenarnya menjadi bukti bahawa UiTM kekal konsisten untuk terus menambahbaik kualiti akademik dan prestasi tinggi para graduan melalui silibus, tenaga pengajar dan staf yang komited kepada kecemerlangan universiti,” katanya.

Beliau menambah, pencapaian penarafan ini juga memberikan motivasi kepada UiTM dalam merancang dan melaksanakan usaha-usaha ke arah pengukuhan UiTM di pentas dunia melalui pelbagai jaringan kerjasama dan kolaborasi bersama institusi pengajian tinggi dalam atau luar negara.

Jelas beliau lagi, UiTM mempunyai strategi terancang untuk memperbaiki kedudukan bagi keenam-enam kategori tersebut yang digariskan di dalam Perancangan Strategik UiTM 2025 yang dilancarkan pada Februari lepas.

UiTM akan terus komited dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang menepati kehendak pasaran dan profesion pekerjaan dalam pelbagai sektor.