KOTA KINABALU: Sabah mengekalkan syarat individu yang ingin memasuki negeri itu perlu menjalani ujian saringan RTK-Antigen terlebih dahulu.

Bagaimanapun, menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, mereka dikecualikan daripada menjalani tempoh kuarantin.

Dalam pada itu, katanya jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 60 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,355 kes.

"Daripada 60 kes positif COVID-19, sebanyak 29 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, tujuh kes saringan bergejala, satu kes dari kluster sedia ada serta 23 kes dari lain-lain kategori," katanya menerusi satu kenyataan media pada Selasa.

Masidi yang juga merupakan jurucakap COVID-19 bagi negeri ini berkata tiada kluster mahupun kes kematian direkodkan pada hari ini.

Selain itu, katanya seramai 511 orang telah menerima suntikan vaksin dos 1 hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 41,957 orang.

"Bagi dos 2 vaksin Pfizer BioNTech, seramai 167 orang telah menerima suntikan hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,080 orang," katanya.

Mengulas mengenai pematuhan penduduk terhadap prosedur operasi standard (SOP), Masidi berkata secara purata ia berada pada tahap 96.6 peratus, dengan Kota Kinabalu mencatatkan kadar pematuhan tertinggi.

Tiga daerah yang mencatatkan pertambahan kes COVID-19 tertinggi hari ini ialah Keningau (26 kes), Kota Belud (enam kes) diikuti Tawau (empat kes).