UKM-GSB cipta sejarah, raih tempat kedua terbaik di Malaysia dalam QS Global MBA Rankings

Sufian (kiri) ditemani Zafir Khan melihat perjalanan dan anugerah yang diterima UKM sejak ditubuhkan pada 2007. - Gambar UKM
BANGI: Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) terus mengukuhkan reputasinya di peringkat antarabangsa apabila buat julung kalinya tersenarai dalam QS Global MBA Rankings 2026, berada dalam kedudukan ke-151 hingga 200 terbaik dunia, ke-23 terbaik di Asia, dan kedua terbaik di Malaysia.
Pencapaian itu menandakan pengiktirafan global terhadap kualiti program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) UKM-GSB, selain mencerminkan keupayaan universiti tersebut melahirkan graduan berdaya saing di pentas dunia.
Menurut Naib Canselor UKM, Prof Sufian Jusoh, kedudukan itu merupakan hasil strategi jangka panjang UKM-GSB dalam memperkukuh pengantarabangsaan, kecemerlangan akademik, penyelidikan serta kolaborasi dengan industri dan institusi ternama antarabangsa.
“Ini adalah pencapaian yang kita banggakan, antara kejayaan terbaik UKM-GSB yang berjaya menduduki penarafan tertinggi di dunia walaupun baru ditubuhkan pada tahun 2007.
“Kita juga sedang memperkukuh kerjasama dengan sekolah-sekolah perniagaan terkemuka di luar negara termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat, bagi memastikan kualiti program akademik dan tenaga pengajar terus ditingkatkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengiktirafan itu bukan sekadar simbol berprestij, tetapi cerminan kepada kualiti pendidikan dan kepercayaan global terhadap sistem pendidikan tinggi di Malaysia.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa UKM bukan sekadar mengekalkan standard antarabangsa, tetapi terus mencipta penanda aras baharu dalam pendidikan tinggi negara,” tambahnya.
Selain kejayaan dalam penarafan QS, UKM-GSB turut berjaya memperoleh pelanjutan bagi Akreditasi Penuh Antarabangsa Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB), untuk tempoh enam tahun lagi, sehingga 2031.
Akreditasi antarabangsa berprestij ini adalah standard tertinggi kualiti yang diiktiraf seluruh dunia bagi menyediakan mekanisma pendidikan perniagaan, jaminan kualiti dan perkhidmatan pembangunan profesional, menjadikan UKM-GSB antara segelintir institusi di rantau ini yang memegang pengiktirafan tersebut.
UKM-GSB turut mengekalkan akreditasi Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow, a 21st Century Organization (ABEST21) yang diterima sejak 2015, dan baru-baru ini menerima Anugerah Kaizen Antarabangsa 2024 sebagai pengiktirafan terhadap inovasi berterusan dalam bidang pendidikan perniagaan.
Kecemerlangan akademik UKM-GSB turut diserlahkan menerusi pengiktirafan dua orang sarjananya, iaitu Prof Ts Mohd Helmi Ali dan Prof Madya Dr Abdullah Mamun yang tersenarai dalam dua peratus saintis terbaik dunia tahun 2025 oleh Stanford University dan Elsevier.
Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat nama kedua-dua tokoh akademik tersebut, malah membuktikan pencapaian penyelidik UKM-GSB di persada antarabangsa.
Sementara itu, Dekan UKM-GSB, Prof Zafir Khan Mohamed Makhbul berkata kejayaan tersenarai dalam QS Global MBA Rankings 2026 adalah hasil sokongan dan strategi jangka panjang universiti dalam memperkukuh kualiti dan jenama globalnya.
Beliau menambah, UKM-GSB kini turut memberi tumpuan kepada penerokaan peluang-peluang program baharu seperti pengurusan penjagaan kesihatan dan pentadbiran kepimpinan akademik , selain memperluas jaringan akademik melalui keahlian dalam European Foundation for Management Development (EFMD), Association of Asia-Pacific Business Schools (AAPBS) serta  kerjasama dengan Institute for Strategy & Competitiveness, Harvard Business School melalui adaptasi kursus Microeconomics for Competitiveness ke dalam kurikulum program MBA.
“Fokus kami bukan sahaja pada akreditasi dan penyelidikan, tetapi juga kepada impak sosial bagi memastikan pelajar menerapkan ilmu secara praktikal bersama komuniti dan industri,” jelasnya.

Dengan gabungan pengiktirafan global, akreditasi antarabangsa dan kolaborasi akademik yang luas, UKM-GSB kini berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai Top Business School di Asia, seiring aspirasi Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menjadi Universiti Watan bertaraf dunia. - Gambar UKM
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


