KOTA BHARU: Kehadiran seekor ular sawa sepanjang tiga meter mengejutkan orang ramai ketika melalui jalan di Kawasan Perindustrian Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini, pada Isnin.

Kehadiran reptilia itu disedari pengguna jalan raya pada jam 9 malam.

Pekerja am, Hakimi Amin, 22, berkata, dia menunggang motosikal bersama rakan dari Sabak untuk ke pasar malam Padang Tembak sebelum terlihat ular sawa yang menyusuri jalan di kawasan simpang tiga.

“Saya terus ke pasar malam dan semasa dalam perjalanan balik, ular tersebut masih lagi berada di atas jalan dalam keadaan tidak bergerak.

“Pengguna jalan raya mula memberhentikan kenderaan masing-masing dan memenuhi kawasan itu untuk melihat ular berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi itu pada Isnin.

Menurutnya, orang ramai kemudian membantu menelefon bomba yang tiba jam 9.17 malam dan menangkap ular seberat lebih 10 kilogram tersebut.

Katanya, ini pertama kali dia melihat ular sawa bersaiz agak besar di kawasan itu.

“Apabila diusik bahagian ekor, ular tersebut menyusur laju menyeberangi jalan.

“Bagaimanapun ular itu dapat ditangkap oleh tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa hanya dalam tempoh tiga minit,” ujarnya. - Sinar Harian