MALAYSIA
'Ulat teksi' dikesan guna MO sewa kereta, kerajaan teliti undang-undang sedia ada - Loke

Loke (tengah) ketika sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat Baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kajang, hari ini. - Foto Bernama
KAJANG: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneliti semula peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan tindakan lebih tegas dapat diambil terhadap sindiket 'ulat teksi' dan kereta sewa yang terus berleluasa terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ringkasan AI
- MOT akan meneliti semula peruntukan undang-undang bagi memperkukuh tindakan terhadap sindiket ulat teksi dan kereta sewa di KLIA, susulan modus operandi mereka menggunakan kenderaan sewa bukan milik sendiri.
- Sekurang-kurangnya satu hingga dua kenderaan digunakan ulat setiap hari di KLIA, dengan caj mencecah RM800. Sindiket beroperasi secara tersusun dan berkongsi risiko saman atau kerugian.
- JPJ dan polis akan memperketat operasi, termasuk pemantauan CCTV. Pemilik kereta sewa diingatkan boleh berdepan tindakan undang-undang jika kenderaan mereka digunakan untuk aktiviti haram.
"Apabila kenderaan disita atau dilucut hak, kesannya tidak dirasai 'ulat 'berkenaan kerana ia bukan milik mereka. Keadaan ini mewujudkan satu kelompongan undang-undang yang sedang mereka ambil kesempatan.
"Sebab itu, kita perlu menilai semula sama ada peruntukan sedia ada mencukupi atau perlu diperkasakan lagi untuk menutup ruang tersebut dan memberi mesej jelas bahawa aktiviti ini tidak boleh dikompromikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pejabat Baharu JPJ Cawangan Kajang, di sini, pada Selasa.
Selain itu Anthony Loke turut mendedahkan, terdapat sekurang-kurangnya satu hingga dua kenderaan dikesan digunakan 'ulat' setiap hari di KLIA dengan caj dikenakan kepada pelancong didakwa mencecah lebih RM800 bagi satu perjalanan.
Katanya, siasatan mendapati kumpulan ulat beroperasi secara tersusun dan bergerak dalam bentuk sindiket termasuk mengamalkan ‘perkongsian risiko’ dengan kos saman atau kerugian ditanggung bersama.
“Kita sudah kenal pasti wajah dan pergerakan mereka menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan operasi pengintipan akan diteruskan secara berterusan. JPJ juga diarahkan memperketatkan penguatkuasaan dengan kerjasama polis bagi memastikan sindiket ini dapat dibanteras,” katanya.
Beliau turut memberi amaran kepada syarikat kereta sewa supaya lebih berhati-hati dalam menyewakan kenderaan kerana pemilik boleh berdepan tindakan undang-undang termasuk pelucutan hak sekiranya ia digunakan untuk aktiviti 'ulat'.
"Pemilik tidak boleh melepaskan tanggungjawab kerana membenarkan kereta mereka digunakan untuk kegiatan haram,” tegasnya.
Menurut Loke lagi, langkah itu penting bagi melindungi imej negara dan sektor pelancongan kerana tindakan penipuan oleh 'ulat' terhadap pelancong memberi kesan buruk terhadap reputasi Malaysia.
Media pada Isnin melaporkan, JPJ menahan seorang pemandu kereta sewa haram atau 'ulat teksi' yang dipercayai menipu pelancong asing dengan mengenakan tambang sebanyak RM800.
Tindakan JPJ itu susulan maklumat tular di media sosial beberapa hari lalu berkenaan pelancong asing ditipu 'ulat' di KLIA.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami