KUALA LUMPUR: Kemeriahan dan kesyukuran menyambut ketibaan Ramadan tahun 1445H dirasai apabila ribuan rakyat Malaysia beragama Islam menunaikan solat tarawih di masjid seluruh negara malam tadi.

Tinjauan Bernama mendapati masyarakat Islam malam tadi mengambil peluang untuk memulakan bulan Ramadan yang penuh keberkatan dengan mengimarahkan masjid bagi menunaikan solat tarawih.

Di PUTRAJAYA, lebih 1,000 umat Islam membanjiri Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) bagi menunaikan solat sunat tarawih pertama yang diimamkan oleh Dr Samer Najeh Abdullah Samarh.

Imam besar MTMZA Nor Azmir Alias berkata pengurusan masjid menyambut baik kehadiran jemaah untuk menunaikan tarawih sepanjang Ramadan kali ini, dan MTMZA membenarkan aktiviti iktikaf di masjid bermula malam tadi.

Di SELANGOR, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam menjadi tumpuan umat Islam untuk menunaikan solat tarawih yang dipimpin Imam Abdulkarim Fatani Al-Makki dan Imam Besar Muhammad Farhan Wijaya.

Seawal 8 malam, Bernama mendapati umat Islam mula menghadiri masjid sehingga berlakunya kesesakan jalan raya susulan kebanjiran masyarakat Islam ke masjid bagi mengimarahkan malam pertama bulan Ramadan ini.

Di PERLIS, tinjauan Bernama di Masjid Syed Alwi di Kangar mendapati hampir 1,000 jemaah hadir menunaikan solat tarawih yang diimamkan Ustaz Muhammad Haafizuddin Abirerah.

Di KEDAH, umat Islam membanjiri Masjid Zahir di Alor Setar seawal 8 malam untuk menunaikan solat tarawih pertama bagi Ramadan tahun ini.

Seorang jemaah dari Simpang Empat, Alor Setar, Mashitah Bakar, 65, berkata dia bersama keluarga hadir buat kali pertama ke masjid itu untuk menunaikan solat tarawih, sekali gus memberi kelainan kepadanya sekeluarga.

"Saja hendak merasa suasana solat tarawih pertama di Masjid Zahir/. Kami datang awal sebab bimbang tidak dapat tempat sekiranya ramai jemaah lain nanti. Esok dan hari seterusnya kami akan kembali solat di surau berhampiran rumah sahaja," katanya.

Di PULAU PINANG, tinjauan Bernama mendapati lebih 400 jemaah terdiri daripada pelbagai peringkat umur hadir ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam untuk menunaikan solat tarawih malam tadi.

Di KELANTAN, suasana malam pertama solat tarawih di negeri itu meriah apabila hampir kesemua masjid yang mengadakan solat tarawih dipenuhi jemaah yang teruja dengan kedatangan Ramadan.

Tinjauan Bernama ke Masjid Imanul Fa'izin dekat Melor, di sini, yang kali pertama mengadakan solat tarawih dihadiri lebih 1,000 jemaah.

Selain itu, di MELAKA, kira-kira 1,000 jemaah menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Azim, Bukit Palah yang dipimpin Imam Besarnya, Datuk Mohammad Hashim Al Hafiz.

Pengerusi Masjid Al Azim Datuk Rahmad Mariman berkata bagi mengimarahkan Ramadan tahun ini juga pelbagai program diadakan selepas solat sunat berkenaan iaitu tadarus al-Quran dan moreh serta qiamullail setiap hari, selain jamuan berbuka puasa bermula hari ini hingga akhir Ramadan.

Suasana meriah turut dirasai di NEGERI SEMBILAN, apabila Masjid Sri Sendayan di Seremban yang terkenal dengan seni reka bentuk seakan-akan Taj Mahal dan Masjid Nabawi menjadi tumpuan umat Islam untuk menunaikan solat tarawih yang dipimpin oleh Imam Sheikh Mohamed Abdelnaby Abdelhasib.

Di JOHOR, masjid-masjid utama di negeri itu antaranya Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato' Onn, Masjid Negeri Sultan Abu Bakar dan Masjid Jamek Bandar Baru Uda dihadiri ribuan jemaah bagi menunaikan solat tarawih malam tadi.

Tinjauan di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral pula mendapati tiket bas ke pelbagai destinasi laris memandangkan tarikh 1 Ramadan merupakan cuti umum di negeri itu.

Kemeriahan Ramadan di negeri ini semakin terasa apabila masyarakat muslim tempatan termasuk warga Singapura juga sudah mula melakukan pembelian awal kelengkapan Aidilfitri meskipun Ramadan baru sahaja bermula hari ini.

Seorang warga Singapura Miftahuddin Idrus, 39, ketika ditemui di Angsana Johor Bahru Mall berkata pembelian awal dilakukan bagi mengelakkan kesesakan dan kehabisan stok bagi kelengkapan raya yang diingini di saat akhir.

Tinjauan Bernama di SABAH pula mendapati Majlis Negeri Sabah di Sembulan menjadi tumpuan apabila kira-kira 2,000 umat Islam hadir menunaikan solat sunat tarawih yang dipimpin Imam Besar Suhaidi Kuanting Al-Hafiz bermula 8 malam tadi.

Di SARAWAK, Masjid India Bandar Kuching menjadi antara tumpuan umat Islam di Bandaraya Kuching bagi menunaikan solat tarawih mereka yang pertama.

Turut dikenali sebagai 'Masjid Terapung' berikutan ia terletak di tebing Sungai Sarawak, tinjauan Bernama mendapati masjid berkenaan dibanjiri hampir 300 umat Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat.

-- BERNAMA