Umat Islam tak wajar terlibat penerbitan filem bertentangan akidah - Khairuddin

Sinar Harian
Mac 4, 2023 12:41 MYT
Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Majlis Ulama UMNO memandang serius normalisasi pembikinan dan penerbitan filem-filem yang menyentuh sensitiviti agama khususnya akidah dan syariat Islam. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Majlis Ulama UMNO berpandangan umat Islam tidak sepatutnya terlibat dengan penerbitan filem yang bertentangan dengan akidah agama Islam walau dengan apa alasan sekali pun.
Kenyataan itu merujuk kepada filem 'Mentega Terbang' yang sedang hangat diperkatakan umat Islam.
Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Majlis Ulama UMNO memandang serius normalisasi pembikinan dan penerbitan filem-filem yang menyentuh sensitiviti agama khususnya akidah dan syariat Islam oleh rakyat Malaysia yang ditayangkan melalui platform internet.
"Demi menjamin keharmonian antara agama dalam negara ini, tidak wajar filem seumpama itu dibiarkan berleluasa dan diterbitkan menerusi saluran bebas walaupun atas nama kebebasan berkarya atau menyuarakan pandangan.
"Umat Islam tidak sepatutnya terlibat dengan penerbitan filem seumpama itu sama ada sebagai penerbit, penulis skrip, pelakon atau apa sahaja yang berkaitan dengan apa alasan sekali pun," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, Mohd Khairuddin berkata, pihaknya menyokong tindakan kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memanggil pihak bertanggungjawab ke atas pembikinan filem kontroversi 'Mentega Terbang' untuk mendapatkan penjelasan serta tindakan lanjut.
Ujarnya, agensi-agensi berkuasa lain juga perlu segera bertindak tegas menurut undang-undang yang ada di negara ini.
"Majlis Ulama UMNO mengalu-alukan langkah segera kerajaan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menerusi Jakim yang memanggil pihak terbabit untuk mendapatkan penjelasan serta tindakan selanjutnya akan dilakukan.
"Filem-filem yang menyentuh sensitiviti agama oleh rakyat Malaysia tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang tindakan," katanya.
BACA: Filem 'Mentega Terbang' jelas bertentangan dengan akidah Islam - Mohd Na'im
BACA: Seniman buat laporan polis filem 'Mentega Terbang'
BACA: LPF teliti filem 'Mentega Terbang' sebelum ambil tindakan - KDN
Media melaporkan Jakim telah diarahkan bertindak segera dengan meneliti keseluruhan kandungan filem Mentega Terbang yang sedang hangat diperkatakan umat Islam.
Mohd Na’im berkata, hasil penelitian Jakim mendapati bahawa filem ini terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.
- Sinar Harian
#mentega terbang #Majlis Ulama UMNO #Mohd Khairuddin Aman Razali #filem bertentangan akidah