Umat Islam di Thailand akan menyambut Ramadan pada Ahad.

Perkara itu diumumkan oleh Sheikul Islam Thailand Aziz Pithakumpol menerusi siaran langsung televisyen Thailand dari pejabat beliau di Songkhla, semalam.

Sementara itu tinjauan Bernama di Selatan Thai mendapati umat Islam mula membuat persiapan bagi menyambut bulan puasa sejak semalam.

Keadaan di Pasar Thepviwat Muang Pattani misalnya, lebih sesak daripada biasa dengan kehadiran umat Islam yang membeli barang keperluan untuk penyediaan juadah sahur dan berbuka.

Bagi peniaga pula Ramadan membawa rezeki lebih kepada mereka.

"Alhamdulillah...Pada hari-hari biasa jual daging 100 kilogram sehari tapi hari ini lebih 100 kg," kata Awae Hamad, seorang penjual daging lembu di pasar itu.